Cik Epal bertegas enggan keluar kenyataan mengenai rumah tangga, rupanya ini puncanya

Oleh WAN SITI AMINAH

Ketika konflik rumah tangganya menjadi perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial, pempengaruh dikenali sebagai Cik Epal lebih memilih untuk mengambil pendekatan berdiam diri.

Difahamkan, isteri kepada ahli perniagaan yang juga pempengaruh iaitu Jofliam itu mempunyai sebabnya tersendiri memutuskan untuk mengunci mulutnya sehingga ke hari ini.

Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Cik Epal menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu pergolakan rumah tangganya selagi proses mahkamah belum selesai.

Cik Epal juga tidak mahu mendahului keputusan mahkamah syariah yang dipercayai akan diketahui dalam masa terdekat selain berjanji akan memberi penjelasan selepas status pernikahannya dengan suami disahkan.

“Buat masa sekarang, saya tak nak berikan kenyataan lagi. Sebabnya saya tak mahu mendahului keputusan mahkamah syariah.

“Penjelasan hanya (akan dibuat) selepas saya pasti status diri bukan lagi suami isteri (dengan Jofliam) itu sudah sah. Terima kasih,” jelas Cik Epal dengan ringkas di dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, Jofliam membuat pendedahan mengenai pergolakan rumah tangganya yang bermula sejak empat bulan lalu apabila beliau didakwa berlaku curang dengan pembantu peribadi ketika pergi bercuti di Jepun bersama beberapa pekerjanya.

Pemilik perniagaan pizza itu juga tidak pasti dengan status perkahwinannya sendiri selain mendakwa dirinya mungkin bukan lagi bergelar suami kepada Cik Epal atau nama sebenarnya Murni Mahmud.

Jofliam bagaimanapun dihujani kecaman netizen selepas tularnya gambar dan video ‘berdua’ melibatkan usahawan terbabit dengan pembantu peribadinya yang dikatakan masih berstatus isteri orang itu.

Walaupun Jofliam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa dirinya mempunyai hubungan istimewa dengan wanita itu, namun kecaman tidak berhenti ekoran orang ramai berpendapat bahawa perbuatannya tetap salah.

Gambar dan video yang diambil bukan sahaja disifatkan tidak menghormati Cik Epal sebagai isterinya malah tidak manis dikongsikan memandangkan Jofliam dengan pekerjanya juga bukan mahram.

Semoga pasangan yang memiliki dua cahaya mata itu dapatlah menyelesaikan masalah rumah tangga mereka dengan sebaiknya.

Baca juga: “Saya tak pasti..” – Jofliam rupanya sudah lafaz taklik, serah keputusan kepada pihak mahkamah