Teka-teki berhubung hak penjagaan anak kepada bekas pasangan pempengaruh sensasi iaitu Cik Epal dan Jofliam akhirnya terjawab selepas lebih sebulan mereka berpisah.
Cik Epal menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Instagram memaklumkan bahawa hak penjagaan penuh kedua-dua anaknya iaitu Han dan Yuki jatuh ke tangannya selaku ibu.
Jelasnya, hak seorang ibu sebagai penjaga sememangnya sudah termaktub dalam undang-undang namun pemilik nama sebenar Murni Mahmud itu bersedia berbincang dengan Jofliam mengenai giliran menjaga anak.
“Hak ibu sebagai penjaga termaktub di dalam undang-undang. Alhamdulillah, hak jagaan penuh Han dan Yuki dapat dekat aku. Namun kes hari ini aku telah bersedia untuk berbincang.
“Demi kepentingan anak-anak, aku ketepikan bahawa duda aku burukkan aku depan anak. Aku ketepikan juga hal aku diburuk-burukkan dan aku ketepikan fakta yang dia (Jofliam) curang.
“Dia seorang bapa yang baik. Cuma aku tak bagi dia buat penggilan telefon sebab dia sentiasa akan menggunakan pelbagai cara untuk rakam (perbualan itu) dan manipulasi keadaan,” katanya dalam hantaran itu.
Difahamkan, prosiding berhubung kes tuntutan hadanah atau hak penjagaan anak-anak kepada bekas pasangan suami isteri berkenaan berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada Isnin.
Dalam perkongsian yang sama, Cik Epal juga menyatakan kesediaan untuk mengalah dan berpindah ke kawasan perumahan berhampiran dengan kediaman Jofliam demi anak-anak mereka.
“Demi anak-anak, aku cari rumah dekat supaya duda aku boleh jumpa dan bergilir-gilir jaga serta jumpa anak-anak selalu. Sebab aku sayangkan anak-anak. Aku harap lepas ini, duda aku tak buruk-burukkan aku lagi.
“Kalau tak, aku memang akan lawan semula (di mahkamah). Mengalah demi anak. Asalkan anak gembira dan memiliki ayah walaupun aku dibuang. Mama sentiasa sayang Han dan Yuki.” Jelasnya lagi.
Sebelum ini, Cik Epal yang juga merupakan usahawan itu mengesahkan bahawa perkahwinannya bersama Jofliam sudah terlerai selepas 10 tahun melayari bahtera rumah tangga bersama.
Pengesahan tersebut dibuat oleh Cik Epal menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya pada 9 Oktober lalu namun pempengaruh terbabit tidak mendedahkan tarikh sebenar lafaz cerai dilakukan.
Terdahulu, Jofliam membuat pendedahan mengenai pergolakan rumah tangganya yang dikatakan bermula sejak lelaki itu didakwa berlaku curang dengan pembantu peribadi dikenali sebagai Dewi ketika bercuti di Jepun bersama beberapa pekerjanya.
Baca juga: “Aku berniaga guna duit sendiri tau” – Faye Kusairi tetap layan ‘pelanggan’ walaupun kena hina