Seorang guru sekolah dan seorang juruelektrik yang sebelum ini tular kerana terlibat dalam skandal seks, masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini.
Kedua mereka mengaku bersalah atas tuduhan cuba melakukan zina pada Februari lalu lapor Harian Metro.
Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin, menjatuhkan hukuman selepas kedua-dua tertuduh, Muhammad Hairul Ezuan Hamzah dan Nur Fadilah Zainal, yang masing-masing berumur 31 tahun, mengaku bersalah.
Hakim berkata mahkamah mengambil kira pengakuan zina, rayuan tertuduh dan permintaan pendakwaan untuk hukuman lebih berat kerana tiada seksyen khusus bagi kesalahan zina luar nikah.
Selain itu, hakim turut mengambil kira latar belakang kedua-dua tertuduh dan bahawa ini adalah kesalahan pertama mereka.
Maka, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 setiap seorang atau penjara enam bulan jika gagal membayar. Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda berkenaan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang membawa hukuman denda hingga RM5,000, penjara hingga 36 bulan, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tular sebelum ini di media sosial tangkap layar kurang sopan mesej di antara seorang guru dengan juruelektrik yang didakwa melakukan perhubungan badan tanpa ikatan sah.
Baca juga: CCTV jelas tetapi tiada tangkapan, anak pemilik sekolah agama dedah video perompak berkopiah