Seorang guru Bahasa Melayu berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi kekesalan terhadap tindakan pelajar menggunakan Bahasa Indonesia dalam penulisan karangan bagi mata pelajaran diajarinya.
Kesilapan dilakukan sesetengah pelajar ini sememangnya cukup membimbangkan jika mereka melakukan perkara yang sama ketika menjawab peperiksaan Bahasa Melayu berikutan boleh menjejaskan markah.
Kekesalan tersebut dikongsikan oleh guru yang dikenali sebagai Cik Gja itu menerusi satu hantaran video dimuat naik di akaun TikTok miliknya memaparkan dirinya ketika menegur tindakan dan kesilapan anak muridnya.
Menurut Cikgu Gja, memang terdapat perkataan Bahasa Indonesia memiliki maksud yang serupa dengan Bahasa Melayu namun penggunaannya kadangkala tidak tepat dalam konteks tertentu terutama bagi situasi formal.
Antara contoh kesalahan ditemukan oleh Cikgu Gja dalam karangan pelajarnya itu adalah rumah sakit yang merujuk kepada hospital selain teman-teman untuk penggunaan perkataan kawan-kawan.
Dalam usaha untuk membendung masalah ini, Cikgu Gya menasihati anak muridnya untuk mengurangkan waktu tontonan khususnya bagi kandungan atau ‘content’ dari negara sebarang sehingga mempengaruhi pelajaran.
Ibu bapa juga disarankan untuk memantau anak-anak dan lebih peka dengan kandungan yang ditonton mereka kerana dikhuatiri boleh menjejaskan pemahaman dan penulisan terutama dalam matapelajaran Bahasa Melayu.
“Cikgu membebel bukan suka-suka. Tolong ya, ibu bapa. Pantau content yang anak-anak tonton. Sebab sekarang karangan murid penuh perkataan macam; berencana (merancang), teman-teman dan rumah sakit.
“Apa yang mereka tengok, itulah yang mereka tulis,” kata guru berkenaan di ruangan kapsyen rakaman yang sudah meraih tontonan sebanyak 2 juta dan 128,300 tanda suka daripada pengguna TikTok itu.
Teguran yang dilakukan oleh Cikgu Gya ini bagaimanapun turut meraih tumpuan masyarakat Indonesia yang salah faham malah beberapa pengguna juga turut tersinggung kerana menyangka bahasa mereka direndahkan.
Guru terbabit kemudian menjelaskan bahawa teguran itu dibuat khusus untuk pelajar yang melakukan kesalahan dalam menjawab peperiksaan dan tidak berniat untuk menghina mana-mana bahasa mahupun negara.
“Saya hormat Bahasa Indonesia. Bahasa yang indah dan kaya budaya. Tetapi dalam karangan sekolah, murid perlu menggunakan Bahasa Melayu yang betul berdasarkan silibus Malaysia. Namun ramai murid terpengaruh dengan content luar negara.
“Jadi ini hanyalah peringatan mesra untuk ibu bapa agar mereka turut bantu pantau dan bezakan penggunaan bahasa mengikut situasi. Mohon maaf sekiranya ada yang tersinggung. Niat saya cuma nak mendidik dengan kasih.” Jelasnya.
