Bila tiba Hari Guru, pastinya anak murid berpusu-pusu mahu menghadiahkan cikgu mereka barangan sebagai tanda menghargai usaha untuk mendidik mereka.
Pastinya guru-guru juga ada menerima pelbagai hadiah, baik yang kecil atau besar nilainya, namun buat guru ini pastinya akan terkenang hadiah tersebut untuk jangka masa lama.
Meskipun sudah berulang kali memaklumkan status agamanya namun masih ada pelajar yang keliru dan memberikan guru ini sejadah serta tasbih digital.
Pengguna X, @jasli_jamil akui tergelak melihat hadiah diterima bersempena Hari Guru berlangsung pada 16 Mei lepas.
“Anak murid bagi sejadah dan tasbih digital. Masalahnya Cikgumu kafir nak,” ujar pengguna tersebut.
Dalam hantaran sama, cikgu Jasli memaklumkan dia adalah anak orang asli dan kesemua adik beradiknya termasuk ayahnya ada bin.
“Ramai tanya asal usul saya. Saya orang Asli, nama diberi Jasli bin Jamil.
“Memang ada bin semua adik beradik, arwah ayah saya pun berbinkan atuk saya,” jelasnya.
Malah dia turut menjelaskan bahawa dia memakai baju melayu atau kurta punca anak muridnya keliru akan agamanya.
“Saya cakap dekat mereka yang saya bukan Islam sebab tak tadah tangan masa baca doa dekat perhimpunan.
“Tapi murid-murid saya tak percaya. Lagi satu, kadang-kadang waktu hari Jumaat saya pakai baju melayu atau kurta. Itu sebab mereka keliru,” tambahnya.
Rata-rata netizen turut terhibur melihat hadiah tersebut malah ada berseloroh itu adalah hidayah untuknya.
“Macam ada bau hidayah untuk cikgu ni.
“Boleh sedekah dekat masjid atau surau, dapat pahala berganda ataupun jadikan ia alas meja sahaja,” antara komen netizen.
Baca juga: Duit simpanan KWSP sikit sangat, pemuda kecewa tak dapat keluarkan akaun 3