Bekas isteri kepada penyanyi terkenal, Virgoun iaitu Inara Rusli kembali mencuri perhatian selepas membuat pendedahan yang mengejutkan, baru-baru ini.
Mana tidaknya, wanita berusia 30 tahun itu mendedahkah dirinya berjaya menuntut royalti daripada lima buah lagu ciptaan bekas suaminya sebagai harta sepencarian.
Pemilik nama sebenar Inara Idola Rusli itu memaklumkan, hak royalti tersebut mula diperolehnya selepas bercerai secara sah dengan Virgoun pada 10 November lalu.
Lima lagu yang terlibat dalam penuntutan royaliti tersebut adalah Surat Cinta Untuk Starla, Bukti, Orang Yang Sama, Titik Balik di Hidupku dan Saat Kau Telah Mengerti.
Malah, mahkamah juga tidak menolak akan ada penambahan royalti sekiranya lagu lain ciptaan Virgoun turut didapati menggunakan Inara sebagai sumber ‘inspirasi’.
Dengan kejayaan ini, Inara bakal memperoleh sebahagian daripada bayaran royalti lagu tersebut selama mana ia diputar di radio dan juga platform lain, lapor Kompas.
“Sementara ini, (lima lagu) itu dahulu. Lagu tidak dipilih berdasarkan harga royalti (yang paling mahal). Tetapi lagu yang menjadikan aku sebagai sumber inspirasi.
“Jadi selepas ini, pembahagian royalti akan dibahagikan kepada dua iaitu Virgoun dan saya, selama mana lagu itu dimainkan,” katanya memetik laporan Kompas.
Menurut peguam yang mewakili Inara, tuntutan royalti lagu sebagai harta sepencarian ini menyaksikan buat pertama kalinya ia berlaku dalam mahkamah Indonesia.
“Hari ini dalam sejarah hukum Islam, pertama kali berlaku di Indonesia. Royalti lagu dijadikan sebagai subjek dalam tuntutan harta sepencarian suami isteri,” ulas peguam bernama Mulkan Let-let itu.
Terdahulu, Virgoun mula menjadi topik perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial seberang selepas ‘kantoi’ melanggan pelacur bagi memuaskan nafsu.
Kejadian ini memaksa Inara yang ketika itu masih bergelar isteri membuka purdahnya demi mencari pekerjaan untuk menanggung perbelanjaan rumah dan anak-anak.
Sekadar info, Virgoun dan Inara berkahwin pada 2014 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Starla Rhea Idola Virgoun, Faithlee As-Sya’ir Virgoun dan Terang Sharique Virgoun.
Baca juga: Halang isteri berkawan, Fattah Amin nafi kongkong Fazura – “Perlu izin suami untuk keberkatan”