Covid-19: 5,058 kes baharu, 393 kes ICU

Oleh ARIF ATAN

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 5,058 kes baharu Covid-19 dikenal pasti di seluruh negara hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kini 2,683,523 kes.

Daripada 5,058 kes baharu ini, hanya 80 kes iaitu 1.6 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5.

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 di negara ini berada pada tahap 0.97 dengan Sarawak mencatatkan angka terendah.

Namun, empat negeri mencatatkan Rt melebihi 1.00 iaitu Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis.

Dalam masa sama, 4,997 kes sembuh setakat jam 12 tengah hari tadi menjadikan 2,591,819 kes sembuh kumulatif iaitu 96.6 peratus dicatatkan.

Seramai 393 pesakit Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 212 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Secara purata, sebanyak 1,051 kes dimasukkan ke hospital untuk tempoh seminggu terakhir, turun dua peratus berbanding minggu sebelumnya.