Covid-19 di Sabah: Jangkitan kes harian melambung di lapan daerah

Oleh ARIF ATAN

Lapan daripada 27 daerah di seluruh Sabah mencatatkan kes harian dua angka semalam, berbanding kelmarin dengan hanya melibatkan tiga daerah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata lapan daerah itu adalah Kota Kinabalu 21 kes, Penampang (18); Kota Belud (17); Putatan (16); Keningau (12); Ranau (11); Tuaran (11) dan Sipitang (10) kes.

“14 daerah lagi mencatatkan jumlah kes pada kadar satu angka dan lima daerah tidak mencatat sebarang kes baharu.

“Semalam (Isnin lalu), cuma tiga daerah mencatat jumlah kes dua angka, 16 daerah mencatat kes baharu satu angka dan lapan daerah tanpa sebarang kes baharu,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Menurutnya, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal sebanyak tiga angka iaitu 168 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 239,883 kes.

“Satu kes kematian dilaporkan membabitkan daerah Kota Kinabalu manakala bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 326 menjadikan jumlah kumulatif 232,915 orang.

“Sebanyak 655 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 361 orang di hospital, 292 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan duaorang di Pusat Tahanan Sementara (PTS),” jelas Masidi lagi.