Ronaldo ‘sign’ kontrak baharu dengan Al-Nassr, gaji terkini cecah RM2.83 juta sehari!

Oleh MALAYSIADATELINE

Lagenda bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo akan kekal bersama kelab timur tengah iaitu Al-Nassr untuk tempoh dua tahun lagi dengan gaji asas baharu mencecah 488,000 pound atau sekitar RM2.83 juta sehari.

Lebih mengagumkan, perjanjian baharu bernilai 492 juta pound (RM2.86 bilion) untuk tempoh dua tahun yang ditandatangani Ronaldo itu turut disifatkan sebagai kontrak paling lumayan dalam sejarah sukan.

Malah perjanjan itu juga datang bersama manfaat lain termasuk ditawarkan menjadi duta untuk kelab Al-Nassr yang mana pendapatannya mampu mencecah sehingga RM3 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ronaldo juga akan menerima bayaran sebanyak 24.5 juta pound (RM142.26 juta) sebagai bonus menandatangani kontrak dan nilainya juga akan meningkat kepada 38 juta pound (RM220.64 juta) jika memasuki tahun kedua.

Tidak cukup dengan itu, bekas bintang kelab Manchester United terbabit turut memperoleh pegangan saham sebanyak 15 peratus dalam kelab yang bernilai sekitar 33 juta pound (RM191.54 juta), lapor Berita Harian.

Pemain itu dijangka mengumpul lebih RM3 bilion selepas kontrak tamat dengan imbuhan 8 juta pound (RM46.44 juta) sekiranya Al-Nassr memenangi gelaran dan 4 juta pound (RM23.22 juta) jika dianugerahkan Kasut Emas.

Pemilik nama sebenar Cristiano Ronaldo dos Santos Aveiro bersama ahli keluarganya juga akan dijaga seperti orang kenamaan di luar padang selain diberikan seramai 16 orang pembantu yang sedia bertugas sepanjang masa.

Pembantu yang ditanggung Al-Nassr dengan anggaran belanja 1.4 juta pound (RM8.12 juta) ini merangkumi tiga pemandu, empat pembantu rumah, dua tukang masak, tiga tukang kebun dan empat pengawal keselamatan.

Kelab bola tersebut turut menampung kos penggunaan jet peribadi bernilai 4 juta pound bersama perjanjian penajaan oleh syarikat-syarikat Arab Saudi yang mampu mencecah 60 juta pound (RM348.28 juta).

Terdahulu, bekas bintang Real Madrid itu menyertai kelab Liga Pro Saudi yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi pada Disember 2022.

Setakat ini, Ronaldo sudah menjaringkan 99 gol dalam 111 penampilan bersama kelab tersebut dan semakin hampir mencapai impiannya untuk menyumbat 1,000 gol dalam karier senior.

Berdasarkan rekod, jumlah gol terkini dijaringkan oleh pemain berusia 40 tahun yang pernah berkhidmat di kelab Portugal, Sporting CP, Real Madrid, Juventus, Manchester United dan kini Al Nassr itu adalah 938 gol.

Baca juga: Buli junior hingga cedera, 6 pelajar MRSM dibuang