Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan mengkaji semula pemotongan peruntukan terhadap Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pemotongan peruntukan yang ketara terhadap IPTA telah menimbulkan masalah kepada warga universiti sejak kebelakangan ini.
Menurutnya pemotongan dilakukan kerajaan pada bajet lepas menyebabkan kekangan kepada kakitangan IPTA termasuk tugasan pejabat terpaksa dilakukan dengan menggunakan wang saku sendiri.
“Sejak peruntukan dipotong, mereka terpaksa guna duit sendiri termasuk untuk membiayai kerja mesin rumput dan cuci bangunan manakala perkhidmatan bas untuk membawa pelajar juga telah dihadkan”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Transformasi Penjawat Awam Daerah Besut bersama Cuepacs anjuran Pejabat Daerah Besut dan Anulae Cawangan Terengganu di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong dhari ini.
Azih berkata dalam pengubahsuaian Bajet 2016 pada Februari ini, kerajaan juga diharap dapat menambah semula peruntukan di IPTA melalui kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Bagaimanapun katanya, Cuepacs mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah memberi jaminan tiada gaji kakitangan awam dipotong dan berharap pengubahsuaian tidak melibatkan sebarang pemansuhan atau perubahan insentif serta kemudahan penjawat awam, yang telah dipersetujui berkuatkuasa 1 Jan lalu.
“Kami berharap pada 28 Februari nanti, kerajaan mengambil kira perolehan pendapatan GST untuk menampung kekurangan pendapatan kerajaan akibat kejatuhan harga minyak dan gas dunia. Malah kejatuhan harga sumber pendapatan negara itu bukan satu yang mendadak kerana alternatif perlaksanaan GST telah ada,” katanya.