Pemilihan PKR tidak perlu ditangguh semata-mata bagi memberi laluan kepada PRK Parlimen Port Dickson, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kempen untuk pemilihan PKR sudah berlangsung kira-kira sebulan, justeru anggota serta jentera parti kini boleh meletakkan fokus kepada PRK Port Dickson yang akan diadakan nanti.
“Cadangan (tangguh pemilihan) itu baik, semua kita patut fokus kepada dua perkara ini tetapi kamu hendak bertanding, bertandinglah. Kamu, antara parti dan kawasan pilihan raya yang mana lebih penting?
Kalau dua-dua penting, kamu sudah kempen sebulan cukuplah, kini tumpu kepada (PRK) Port Dickson. Maknanya boleh (adakan pemilihan) tetapi ini (pemilihan) pada peringkat akhir, sudahlah,” katanya ketika berucap pada majlis Agenda Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh mlam tadi, lapor Bernama.
Turut hadir Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Timbalan Menteri Industri Utama dan kira-kira 1,000 anggota parti itu.
Terdahulu, Shamsul Iskandar menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR menangguhkan pemilihan parti itu di semua peringkat dan mengaktifkannya kembali hanya selepas PRK Port Dickson selesai.
Katanya, ia bertujuan untuk memperlihatkan permuafakatan penuh dalam PKR di segenap lapisan.
Menurutnya, ia perkara penting bagi menjamin akauntabiliti semua pihak dan menjamin keberadaan semua pihak untuk berkubu di Parlimen Pot Dickson tanpa menonjolkan atau mengecualikan mana-mana pihak daripada terlibat dalam kempen PRK itu.
“Saya yakin dan percaya dengan muafakat dalaman PKR ini akan menghasilkan impak positif buat parti sekalgus menjamin kemenangan selesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Dewan Rakyat memipin agenda reformasi institusi Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.