Dakwa Jay Iswazir pukul dan paksa gugur anak, ini punca Azzahra Ahmad tak ‘report’ polis

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Azzahra Ahmad mengaku pernah menghubungi pihak polis bagi membuat laporan terhadap bekas suami yang juga merupakan seorang aktor iaitu Jay Iswazir sebelum memutuskan untuk bercerai.

Azzahra bagaimanapun mengambil keputusan untuk membatalkan niatnya itu selepas memikirkan kesannya terutama terhadap kerjaya bekas suaminya jika laporan tersebut dibuat.

Ketika kejadian, Azzahra yang mengalami kecederaan teruk itu sedang berada di hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujukkan di bawah kes keganasan rumah tangga.

“Paling teruk dia (Jay Iswazir) buat sehingga saya sudah menghubungi pihak polis. Ketika itu polis maklum kepada saya, ‘kalau puan betul-betul nak kami tangkap, datang dekat balai (buat laporan) dan kami akan tangkap dia’.

“Tetapi ketika itu, saya fikir dia ada penggambaran. Kalau polis tangkap dia, ia akan menjejaskan pihak produksi dan penggambaran. Situasi itu akan jejaskan banyak pihak malah boleh tutup periuk nasi dia juga.

“Walaupun tengah sakit, tetapi saya tetap ada rasa simpati dan belas kasihan kepadanya. Jadi saya tak teruskan niat buat laporan. Saya hanya pergi hospital sebelum mereka merujuk saya di bawah kes keganasan rumah tangga,” katanya.

Azzahra membuat pendedahan tersebut dalam satu sesi temu bual bersama Melodi yang mana rakamannya turut dimuat naik di laman media sosial TikTok menerusi akaun @melodiberapi.

@melodiberapi

Inilah luahan bekas isteri pelakon Jay Iswazir, dengarkan. #meloditv3

♬ original sound – Melodi tv3 – Melodi tv3

Azzahra yang merupakan anak yatim piatu itu juga tidak dapat menahan sebak ketika meluahkan rasa terkilannya terhadap layanan Jay ketika mereka masih bergelar suami isteri.

Pelakon wanita terbabit kemudian memutuskan untuk berpisah dengan bekas suaminya berikutan tidak mampu lagi menahan penderitaan selepas dua tahun melayari bahtera perkahwinan.

“Saya sudah tiada siapa-siapa, tiada mak ayah. Saya anak sulung, tak ada abang dan kakak. Kenapa dia tergamak buat saya macam ini? Sebab saya tiada sesiapakah? Tiada orang boleh pertahankan saya.

“Saya cakap padanya, ‘saya tak boleh hidup dengan orang macam awak dan rasa kita takkan lama. Kalau perangai awak macam ini, saya memang tak boleh tahan. Saya rasa, saya bukan diri sendiri apabila dengan awak’.” Kongsinya.

Terdahulu, bekas pasangan pelakon itu melangsungkan perkahwinan pada 20 Mac 2022 sebelum Azzahra tampil membuat pengumuman di akaun Instagram miliknya bahawa mereka sudah bercerai pada 28 Oktober lalu.

Azzahra turut mendedahkan bahawa dirinya sudah mula dikasari oleh bekas suaminya di dalam tempoh tiga bulan perkahwinan termasuk mendakwa didesak lelaki terbabit untuk menggugurkan kandungan.

Baca juga: Banglo mewah Sajat turun harga lagi cecah RM3.79 juta lepas tiga kali dilelong