Dakwaan kertas Sejarah SPM bocor tak berasas, KPM nafi ia berlaku

Oleh MAISARAH AISYA

Setiap tahun pasti sahaja ada kes kebocoran kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak kira apa subjek sekalipun.

Tahun ini dakwaan tersebut melibatkan kertas peperiksaan Sejarah untuk SPM 2024 lapor Buletin TV3,

Disebabkan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini menafikan dan menegaskan ia adalah dakwaan tidak benar serta tidak berasas

Menurutnya, tangkap layar yang ditularkan itu hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks Sejarah yang dijadikan ramalan.

“Tiada soalan kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan 2 SPM 2024 dipaparkan dalam mana-mana sebaran dan tangkap layar yang ditularkan.

“Justeru, dakwaan ini tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan, KPM,” katanya.

Dalam pada itu, KPM memaklumkan, siasatan terperinci selesai dijalankan dan turut mengambil kira semua sebaran serta tangkap layar berkaitan yang tular di laman media sosial.

“Sehubungan itu, semua calon peperiksaan SPM dinasihatkan kekal tenang dan fokus dalam menghadapi peperiksaan.

“KPM sentiasa komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 adalah terjamin,” katanya.

Baca juga: Hina Agong di media sosial, peniaga gerai didenda RM3,000