Adakah polis cuai kerana tidak bertindak terhadap tuduhan kononnya DAP ditawarkan sejumlah RM1.2 bilion sebagai balasan kepada pembinaan pangkalan tentera laut Israel di Port Dickson jika parti itu dan sekutunya membentuk kerajaan? soal Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Kit Siang yag juga Ketua Ahli Parlimen DAP, melontarkan pertanyaan kepada presiden gabungan NGO pro-BN, Zulkarnain Mahdar yang mahu polis menyiasat dakwaan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki berhubung perkara itu.
Menurut beliau, adakah gabungan NGO pro-BN yang diketuai Zulkarnain menganggap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu dikenakan tindakan disiplin kerana cuai bertindak menyiasat dakwaan tersebut.
Kit Siang menambah, dakwaan Zuhdi itu jika benar boleh mendatangkan malapetaka besar kepada negara jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan kerana ia membabitkan aspek keselamatan negara dan sensitiviti umat Islam.
“Saya bersetuju sepenuhnya dengan Zulkarnain malah mengambil satu langkah kehadapan bahawa jika dakwaan itu benar, ini menunjukkan kecuaian polis yang serius dan sukar dimaafkan, apatah lagi dakwaan itu pertama kali dibuat empat tahun lalu, dan Khalid sepatutnya menjelaskan mengapa polis cuai melaksanakan tugas selama tempoh itu bagi melindungi kepentingan keselamatan negara ini?” sindir beliau.
Kit Siang bagaimanapun enggan mengulas tahap intelek, moral, nilai agama dan kredibiliti politik ‘pemimpin politik senior’ yang mempercayai pembohongan dan kepalsuan yang dikitar semula.
Apatah lagi, tambah beliau, pemimpin politik senior itu dan ‘teman sejiwa’ politiknya (Umno) sepanjang empat tahun lalu tidak pernah menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dan sensitivi umat Islam negara ini jika dakwaan itu benar.
Malah pemimpin politik berkenaan, ujarnya tidak pernah mendapatkan penjelasan DAP berhubung dakwaan itu ketika bersama dalam satu pakatan politik (Pakatan Rakyat).
Kit Siang menyerahkan kepada rakyat untuk menilai pemimpin politik yang secara mudah memperalatkan isu keselamatan negara dan sensitiviti umat Islam demi kepentingan politik sekaligus mendedahkan sikap hipokrasi yang buruk.
“Saya mempunyai banyak percanggahan dengan polis dan begitu prihatin dengan campur tangan politik dalam bidang kepolisian, namun saya mengakui pihak Cawangan Khas Polis setakat ini begitu profesional dalam melaksanakan tugas melindungi keselamatan negara.
“Adakah polis gagal dalam tugasnya melindungi kepentingan keselamatan Malaysia terutama membabitkan dakwaan liar yang pertama kali dibuat empat tahun lalu oleh individu yang diragui wataknya.
“Biarlah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS dan Presiden Gabungan NGO Pro-BN membuktikan dakwaan mereka atau menerima kecaman kerana mendedahkan kebodohan sendiri kepada umum,” ujar Kit Siang.
Dalam perkembangan berkaitan, Kit Siang ketika berucap di majlis makan malam anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan di Petaling Jaya, Jumaat lalu berkata, DAP akan menyaman seorang ahli politik yang mendakwa parti itu ditawarkan RM1.2 bilion sebagai pertukaran dengan sebuah pangkalan tentera laut Israel di Port Dickson.
Beliau tidak menamakan “pemimpin politik kanan” berkenaan tetapi berkata individu itu akan disaman kerana memfitnah.
Katanya, individu tersebut perlu membayar harga tinggi kerana dakwaan itu tidak berasas dan melulu.
Sebelum itu dalam laporan media, Mohd Zuhdi meminta DAP menjawab dakwaan bekas Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamed Razali Abd Rahman, yang dibuat empat tahun lalu mengenai hubungan parti itu dengan Israel.
Kata Mohd Zuhdi, tiga dakwaan tersebut adalah DAP mendapat latihan strategik politik daripada Israel, pemimpin DAP dikatakan menemui wakil kedutaan Israel di Singapura dan DAP ditawarkan dana politik oleh Israel.
Sementara itu ketika menjawab amaran Kit Siang, Mohd Zuhdi menyatakan DAP berhak menyaman sesiapa sahaja yang mereka mahu.
Namun beliau enggan mengulas lanjut kenyataan Kit Siang itu.
“Saya tiada komen tambahan. DAP ada hak untuk saman sesiapa sahaja,” lapor Sinar Online hari ini.