Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed menegaskan istilah seperti dana politik dan mahabbah perniagaan juga merupakan satu bentuk jenayah rasuah.
Menurutnya, unsur rasuah ini sudah menjadi kelaziman dalam urusan mendapatkan kawasan untuk aktiviti perlombongan dan pembalakan.
“Istilah rasuah di Kelantan ini tukar kepada political fund iaitu sumbangan kepada parti. Maka, boleh ‘adjust’ berapa luas kawasan untuk dibalak. Teknikal saja.
“Kadang-kadang digunakan istilah mahabbah perniagaan. Ini bunyi Arab sikit. Kalau nak kawasan lombong, balak maka ada wang pelincir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Isu-Isu Semasa Siri 5, “Integriti Azam Baki: Ulamak Su’ Sebagai Penyokong” anjuran Biro Komunikasi dan Media Oren Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Kelantan malam tadi.
Turut berceramah Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.
Dalam masa sama, Ustaz Che Ibrahim juga mengingatkan individu yang melakukan rasuah dilaknat oleh Allah SWT.
“Makan babi tidak dilaknat oleh Allah, setakat haram sahaja. Rasuah bukannya kena ikat (tangkap) dengan SPRM.
“Saya dulu masa kerja pernah dipanggil oleh SPRM untuk siasatan kerana ada wakil rakyat di Kelantan didakwa buat tuntutan palsu. Rasuah jugalah.
“Malas nak sebut nama. Dia duduk di Kuala Lumpur. Dia ‘claim’ perjalanan dari Parlimen ke Kelantan sedangkan dia menetap di Kuala Lumpur.
“Saya tanyalah pegawai penyiasat itu. Berapa dia claim? Dia kata sikit pun rasuah. Bukan nilai yang disiasat tetapi kesalahan,” kata Ustaz Che Ibrahim lagi.