DAP – Pakatan Harapan sedia kerjasama dengan pemimpin dan ahli Umno yang kecewa

Oleh MALAYSIADATELINE

Mana-mana pemimpin dan ahli UMNO yang tidak berpuashati  dengan parti keramat Melayu itu, DAP dan Pakatan Harapan bersedia untuk menjalinkan kerjasama dalam penjajaran politik baru untuk “Selamatkan Malaysia” dari rasuah, ketidakadilan sosio-ekonomi dan kegagalan pembinaan negara.

Pakatan Harapan terdiri daripada gabungan kerjasama untuk pilihanraya raya oleh tiga parti DAP,PKR dan Amanah.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, permulaan tahun 2016 bukanlah sesuatu yang menguntungkan rakyat apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mendakwa isu dana RM2.6bilion dan 1 Malaysia Development Berhada ( 1MDB) tidak lagi menjadi isu negara.

“Ini adalah contoh yang paling teruk daripada sindrom penafian dalam sejarah negara, di mana Perdana Menteri secara terbuka menafikan kewujudan masalah dan skandal yang dia sendiri tidak mungkin percaya.

“Malah, tiga hari lalu, Malaysia telah dihina apabila disenaraikan sebagai negara ketiga di dunia yang paling korup pada 2015. Terima kasih kerana skandal berkembar mega Najib itu,” ujarnya sebagaimana dipetik dari blognya hari ini.

Lim bercakap demikian ketika berucap dalam forum “Cabaran Malaysia 2016 : Mampukah Rakyat Dibela? di Kluang malam tadi.

Kata beliau lagi, tahun 2015 merupakan tahun yang sangat buruk bagi rakyat Malaysia, dan 2016 tidak mungkin menjadi lebih baik, dengan rakyat Malaysia masih dihantui dan diburu oleh skandal yang sama yang melanda negara ini pada tahun lalu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu meyenaraikan isu yang buruk berlaku terhadap polarisasi kaum dan agama, dengan peningkatan politik penipuan, kebencian dan ketakutan sebagai cubaan terdesak untuk pemimpin-pemimpin Umno melindungi diri mereka.

“Kesan yang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan kenaikan harga barangan menekan golongan berpendapatan rendah.

“Bukan itu sahaja serangan berterusan ke atas hak-hak rakyat dalam negara berdemokrasi , pelanggaran perlembagaan negara Malaysia terhadap kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia dengan adanya Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara menimbulkan ancaman terbesar kepada rakyat Malaysia.

“ Isu derma RM2.6 bilion dan 1MDB, walaupun Perdana Menteri telah menyatakan janjinya untuk meyelesaikan sehingga akhir tahun lalu tetapi tidak berlaku,” ujarnya.

Justeru Lim Kit Siang berkata penjajaran politik di Malaysia bagi tahun 2016 bukan untuk menyelamatkan seorang individu, sama ada Najib, atau sebuah parti politik, sama ada UMNO, tetapi bagaimana untuk menyelamatkan Malaysia daripada terus berhadapan dengan dasar yang membawa Malaysia kepada sebuah negara yang gagal dan tidak selamat.