DAP dedah Ismail sudah lama tidak panggil Mesyuarat Pengurusan Covid-19

Oleh NASUHA RAHMAN

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng mendedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah lama tidak memanggil sebarang mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan wabak COVID-19 sejak mesyuarat terakhir pada 5 November 2021.

Guan Eng yang salah seorang ahli jawatankuasa itu mempersoalkan jika gelombang ke-3 pandemik Covid-19 adalah ancaman serius, mengapa tiada mesyuarat untuk jawatankuasa kebangsaan tertinggi Covid-19 selama 100 hari yang lalu?

“Atau adakah anggapan Ismail dan menteri-menterinya akibat wabak Covid-19 menjadi endemik seperti selesema biasa?

“Ini menimbulkan syak wasangka tentang tahap sebenar gelombang terkini jangkitan Covid-19 dan sama ada ia telah dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memanfaatkan kepentingan parti politik yang mementingkan diri sendiri, terutama pada pilihan raya negeri Johor akan datang,” kata beliau.

Menurut Guan Eng, dengan ketiadaan mesyuarat Covid-19 selama 100 hari maka tiada tanggungjawab peribadi oleh pemimpin untuk pematuhan, tiada akauntabiliti awam terhadap protokol Covid-19.

Setiausaha Agung DAP itu juga berkata, kerajaan juga mungkin membenarkan pembukaan semula sepenuhnya ekonomi, masyarakat dan sempadan tertakluk kepada SOP biasa untuk mereka sepenuhnya yang diberi vaksin.

“Inilah yang telah dilakukan oleh banyak negara seperti Australia untuk membuka semula sepenuhnya sempadannya kepada pelancong yang telah divaksin sepenuhnya,” kata beliau.

Guan Eng berkata, rakyat yang mematuhi undang-undang dan orang awam yang menderita akibat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 marah dengan rasional tidak masuk akal Ismail Sabri Yaakob bahawa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein tidak perlu meletakkan jawatan selepas menerima denda kerana melanggar protokol Covid-19 kerana ini bukan jenayah.

Hishammuddin Hussein, penyandang Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan presiden MIC S Vigneswaran telah ditangkap bergaul rapat dengan sekumpulan ahli politik di acara MIC di Johor dengan jelas melanggar SOP COVID-19.

“Ismail lupa bahawa ini adalah soal tanggungjawab peribadi dan akauntabiliti awam bagi seorang Menteri seperti Hishamuddin, yang juga mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 yang diamanahkan untuk menggesa pematuhan orang ramai dalam mengurus dan mengumumkan SOP Covid,” katanya lagi.

Ismail Sabri telah cuba mempertahankan Hishamuddin bahawa kesalahannya bukan jenayah tetapi hanya kompaun RM1,000.