DAP Johor edar limau mandarin di pasar kampung Melayu

Oleh BORHAN AHMAD

Bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak berapa lama lagi, DAP Kluang mengadakan program edaran limau mandarin di Pasar Tani Kampung Melayu, Kluang.

Program yang berlangsung sekitar jam 9.00 hingga 11.00 pagi semalam diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin dan pegawai khas Ahli Parlimen Kluang, Sheikh Omar Ali.

Ujar Tan, buah limau mandarin menggambarkan kekayaan dan kegembiraan menurut tradisi kaum Tionghua.

“Kita mendoakan semua rakyat tak kira bangsa agar mendapat kekayaan dan dikurniakan kesenangan yang melimpah ruah di saat ekonomi Malaysia sedang sakit kerana ketirisan serta pelbagai skandal yang dipalitkan ke atas Perdana Menteri,” katanya.

Jelas beliau, program edaran limau mandarin itu adalah sebahagian daripada 11 siri Jelajah DAP Johor ke segenap daerah di negeri ini bagi mendekati rakyat.

Usaha ini juga, tambah beliau membolehkan DAP mendapat respon langsung rakyat berhubung pelbagai isu seperti pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga barang dan sebagainya.

Sheikh Omar pula melahirkan kegembiraan apabila program edaran limau mandarin itu mendapat sambutan baik kalangan masyarakat Melayu.

“Seorang pakcik berkopiah agak gembira namun sedikit terkejut, mengapa kami berikan limau mandarin kepada mereka. Beliau fikir, pemberian limau mandarin sempena Tahun Baru adalah untuk masyarakat Tionghua sahaja.

“Saya beritahu mereka, Tahun Baru ini perlu diraikan oleh semua bangsa,” jelasnya.

Menurut Sheikh Omar, walaupun Tahun Baru Cina disambut khusus oleh masyarakat Tionghua, namun nilai dan semangat mahabbah yang terdapat semasa sambutan perayaan ini perlu disemai dan dikongsikan oleh semua rakyat Malaysia.