DAP mahu audit menyeluruh kerugian Tabung Haji

Oleh BORHAN AHMAD

DAP menuntut audit menyeluruh dan telus ke atas penyata kewangan Tabung Haji yang menunjukkan kerugian sebanyak RM351 juta.

Timbalan Bendahari Agong DAP Nga Kor Ming berkata, audit yang telus adalah wajib untuk menjamin supaya wang simpanan 8 juta umat Islam di Tabung Haji terjamin dan tidak terjejas.

“Penyata kewangan Tabung Haji bagi tahun kewangan 31 Disember 2014 menunjukkan rizab terkumpul negatif iaitu kerugian terkumpul sebanyak RM351 juta.

“Dengan kata lain, sekiranya pendeposit-pendeposit Tabung Haji mahu mengambil kembali simpanan sebanyak RM54.358 bilion, semua aset Tabung Haji adalah tidak cukup untuk membayar simpanan tersebut dan kekurangan dana adalah sebanyak RM351 juta,” ujar Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping.

Keadaan ini, katanya menjadi lebih serius apabila Bank Negara memberi amaran menerusi suratnya kepada Menteri berkenaan berhubung aset Tabung Haji yang lebih rendah daripada liabilitinya, iaitu 98 sen aset berbanding RM1 liabiliti.

Beliau menambah, tindakan segera perlu diambil sebelum Tabung Haji menanggung kerugian yang lebih besar dan satu audit penuh yang telus adalah perlu demi
menjamin hak-hak pendeposit.

“Kerajaan digesa menubuhkan jawatankuasa khas yang berkecuali untuk menjalankan audit penuh dan jawatankuasa tersebut perlu bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Laporan audit perlu dibentang kepada Dewan Rakyat untuk diperiksa demi menjamin hak-hak pendeposit,” ujarnya.