Dikalangan pimpinan DAP lantang mengkritik penutupan kertas siasatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melibatkan skandal derma RM2.6 bilion tanpa sebarang penjelasan munasabah.
Antaranya Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata Peguam Negara sepatutnya memberi cadangan kepada kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses siasatan mereka, bukan sebaliknya.
“Mengarut. Peguam Negara sepatutnya beri cadangan kepada SPRM. Adakah SPRM ada pandangan serupa dengan Peguam Negara? Kes ini terlalu mustahak untuk diselesaikan secara bersendirian oleh Peguam Negara,” katanya.
Kepada Roketkini, Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan itu berkata satu laporan siasatan penuh SPRM sepatutnya dikeluarkan kepada umum untuk diteliti pelbagai pihak.
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto pula menyifatkan pengumuman Peguam Negara itu sebagai ‘tangan hitam yang makin berleluasa’ dalam negara berikutan agensi kerajaan seperti SPRM diperalat untuk membaiki imej Najib yang semakin rapuh dan tidak popular.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng pula mempersoal mengapa Perdana Menteri tidak mengumumkan sendiri dakwaan pemulangan RM2.03 bilion dari RM2.6 bilion dari akaun peribadinya.
“Adakah Najib berani saman pembangkang, NGO dan beberapa pihak dalam BN sendiri yang mengkritik beliau berhubung skandal RM2.6 bilion itu. Saya percaya lebih banyak fakta akan kita ketahui jika ia dibicarakan.
“Adakah ini juga bermaksud mana-mana ahli politik boleh menerima sumbangan dari sesiapa?” katanya ketika ditemui di sidang parlimen.
Dalam satu laporan media, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dipetik menyifatkan tindakan peguam negara itu sudah dijangka dan tidak menghairankan.
Skandal RM2.6 bilion itu mungkin selesai di mata kerajaan tetapi tidak selesai di mata rakyat terutama apabila Peguam Negara, dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.
Manakala kata Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor, Ahmad Anwar Asyraf Ismail pula berkata sudah banyak kontroversi melibatkan skandal itu seperti pemecatan tergesa-gesa Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Abdul Gani Patail dan kegagalan Najib menjelaskan isu itu di Dewan Rakyat bulan lepas.
“Kini, apabila Apandi menjadi salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, jelas ada konflik kepentingan,” ujarnya.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Subang, Edry Faizal Eddy Yusof pula menyifatkan kenyataan Apandi kononnya wang itu sudah dipulangkan kembali kepada keluarga diraja Arab Saudi pada 2013 itu sebagai mencuriga dan melucukan.
“Ini terlampau tidak masuk akal, tidak perlu jadi orang cerdik pandai untuk menyedarinya,” kata beliau yang sama sekali tidak menyangka kenyataan ‘membodohkan rakyat’ itu menjadi penamat segala kebimbangan dan pertanyaan rakyat berhubung skandal berkenaan.
“Kita boleh lihat dari awal, perjalanan skandal itu tidak konsisten kerana terlalu banyak dolak-dalik dari pemimpin UMNO BN bagi menutup mulut rakyat, contohnya mengambil masa lama untuk menerangkan ia kononnya wang derma.” ujarnya sebagaimana dipetik.