Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming mempersoal kenaikan tambang Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam keadaan ERL tidak perlu mengeluarkan sebarang kos pembinaan rel tambahan kerana ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Beliau berkata ERL Sdn Bhd tidak mengeluarkan sebarang kos pembinaan sambungan lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
“Mengapa kerajaan tidak menyekat syarikat konsesi daripada meningkatkan tambang walaupun kos pembinaan didana sepenuhnya?” soalnya dalam kenyataan media hari ini.
Ahli Parlimen daripada DAP itu juga mendesak Kerajaan Persekutuan mendedah perjanjian konsesi ERL Snd Bhd berikutan peningkatan kadar tambang walaupun mencatat keuntungan besar.
Menurut beliau, jumlah penumpang KLIA Express meningkat dari 2,062,223 pada 2013 kepada 2,928,302 (2014), berdasarkan statistik Kementerian Pengangkutan.
KLIA Transit pula, katanya, mencatat peningkatan penumpang dari 4,373,220 pada 2013 kepada 6,310,323 (2014), masing-masing pertambahan 42 peratus dan 44 peratus.
“Peningkatan penumpang itu hasil pembukaan rel baru dari KLIA ke KLIA2 pada 6 Mei 2014. Ia membawa keuntungan dalam anggaran RM64 juta,” katanya.
ERL Sdn Bhd adalah pemegang konsesi KLIA Transit dan KLIA Express yang beroperasi pada 14 April 2014 dan didanai sepenuhnya kerajaan dengan kos RM2.4 billion.
Meskipun mencatatkan keuntungan, Kian Ming kesal berikutan pengguna ERL berdepan peningkatan RM20 harga tambang baru iaitu RM55 berbanding RM35 sebelumnya bermula 1 Januari 2016.
Kian Ming mendakwa kerajaan sebagai lalai dalam tanggungjawabnya dan membiarkan rakyat sengsara akibat peningkatan tambang berkenaan.
“Adakah kerajaan lalai sehingga membenarkan peningkatan sebesar itu walaupun tahu hasil daripada pembinan rel tambahan berkenaan akan meningkatkan jumlah penumpang?” katanya.