DAP ulangi penegasan tolak TPPA, sanggah kenyataan perkauman Hadi

Oleh BORHAN AHMAD

DAP mengulangi penegasan menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dikhuatiri memberi pelbagai kesan negatif termasuk kenaikan harga dan penindasan terhadap golongan pekerja dan perniagaan kecil seperti Industri Kecil dan Sederhana (SME).

Parti komponen Pakatan Harapan itu turut menyanggah kecaman tidak berasas dan bersifat perkauman Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberi gambaran salah bahawa DAP menyokong TPPA atas alasan kononnya orang Cina menguasai perdagangan di negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media, berkata tuduhan Ahli Parlimen Marang itu menggambarkan PAS bukan sahaja bekerjasama dengan Umno malah mencontohi amalan politik kotor dan fitnah parti tunjang BN itu.

“Kalau ikut logik Hadi, tentu Umno juga adalah Cina kerana bawa usul TPPA di parlimen. Kenapa Hadi tidak terus bekerjasama dengan Umno dan jadi penasihat kerajaan BN sahaja?” tegas beliau.

Guan Eng juga mengingatkan bahawa TPPA diperkenalkan oleh pemimpin Umno sendiri untuk mengekang pengaruh geo-politik negara China.

“Jika Hadi begitu anti kepada negara China, dia tak perlu bantah tetapi menyokong TPPA untuk menentang China,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga turut mempersoalkan sikap Presiden PAS yang tidak langsung mengkritik Umno yang secara rasmi menyokong TPPA.

Menurutnya, TPPA tidak tertumpu kepada penganut agama atau kaum tertentu di negara ini malah memberi kesan besar kepada 30 juta rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

“Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban bimbang dengan kenaikan kos sara hidup dan kegagalan dasar ekonomi BN. Rakyat Malaysia mahu kerajaan BN digantikan demi menyelamatkan negara, bersatu dalam hal ehwal ekonomi dan melawan rasuah.

“Mereka mahu sebuah alternatif ekonomi yang berdaya maju dan bukan dengan kenyataan tanpa asas yang mengarut atau tidak logik dan semata-mata bersandar kepada sentimen dan emosi.

“Rakyat mesti diyakinkan menikmati kehidupan yang lebih baik dibawah alternatif ekonomi yang baru menggantikan BN dan bukan menggantikan keadaan ekonomi yang tertekan seperti sekarang dengan sebuah negara yang muflis,” jelas beliau.