Dapatkan permit polis dahulu sebelum masuk Kuching

Oleh BORHAN AHMAD

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan orang ramai dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan lain-lain perlu memohon permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu untuk memasuki Kuching.

JPBN berkata, ia adalah keputusan yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JPBN bersedia untuk membantu melaksanakannya.

“MKN telah memutuskan bahawa pergerakan rentas negeri dari KLIA ke Kuching dan sebaliknya dari Lapangan Terbangan Kota Kinabalu ke Kuching dan sebaliknya, perlu permit daripada polis sebelum memulakan perjalanan.

“Keputusan ini dibuat MKN memandangkan peningkatan kes di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan yang semakin serius.

“Justeru, JPBN turut memaklumkan penambahan tatacara masuk ke Sarawak melalui aplikasi Enter Sarawak selain perlu disertai permit daripada polis,” ujar JPBN dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam semalam dengan hanya individu yang bertugas dibenarkan merentas daerah dan negeri namun syaratnya mempunyai pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan.

Menurutnya, bagi pergerakan melalui negeri Selangor dan Kuala Lumpur ke negeri-negeri lain, mereka dinasihatkan agar mendapatkan kebenaran daripada balai polis berhampiran sebelum membuat perjalanan.

Tegas JPBN, berdasarkan bilangan kes yang semakin meningkat khususnya di Sabah, maka pergerakan melalui sempadan Merapok dan Sidumin perlu diperketatkan lagi.

“Jumlah anggota keselamatan dan bilangan anggota untuk kawalan termasuk jalan-jalan tikus akan ditambah.

“Malah, kawalan dan rondaan yang lebih ketat serta kerap juga akan dipertingkatkan di sempadan Kalimantan,” ujar JPBN.