Usahawan yang kini bergelar personaliti media sosial iaitu Datuk Red kembali menjadi sorotan ramai selepas tampil sebagai tetamu di dalam satu sesi ‘podcast’ atau audio siar baru-baru ini.
Menerusi sesi tersebut, pemilik nama sebenar Datuk Seri Adenan Abu itu membuat pendedahan mengenai gaya hidupnya kini yang sangat berbeza dengan kemewahan pernah dinikmatinya suatu ketika dahulu.
Difahamkan, ahli perniagaan berumur 47 tahun itu mula mencapai kejayaan dengan meraih gelaran jutawan ketika usianya mencecah 35 tahun dipercayai selepas masuk ke dalam bidang jual beli tanah.
Bagaimanapun Datuk Red yang juga bekas suami kepada penyanyi, Adira Suhaimi kini perlu menjalani hidup secara sederhana selepas berdepan dengan masalah kewangan sejak beberapa tahun lalu.
Usahawan itu juga terpaksa menyewa di sebuah bilik kecil di lot kedai yang terletak di Sungai Buloh, Selangor untuk berjimat cermat walaupun kediaman berkenaan tidak mempunyai tandas.
“Sekarang ini saya tinggal di bilik sewa bersaiz 10×10 kaki. Bilik itu juga tiada tandas. Kadang-kadang pada hujung minggu, saya bawa balik anak. Tetapi sebelum mereka sampai, kena singgah di tandas stesen minyak dahulu.
“Bilik itu awalnya saya ingat nak buat pejabat sahaja. Ada penghawa dingin dan harga sewanya berjumlah RM250. Tetapi masa itu tak tahu pula yang bilik itu tiada tandas. Namun sebab sudah terambil, teruskan sahaja menyewa.
“Bilik itu di sebuah lot kedai di Sungai Buloh. Ada dua bilik dan salah satunya disewa oleh kawan saya. Kawan saya punya ada singki. Bilik saya tiada. Kalau nak guna tandas, memang kena pergi stesen minyak,” katanya.
Perkara itu didedahkan oleh Datuk Red dalam sesi audio siar ‘Dol’s Podcast’ yang mana sedutan rakamannya turut dimuat naik di platform TikTok menerusi hantaran video berdurasi satu minit 17 saat.
Datuk Red dalam perkongsian yang sama turut mengakui dirinya kini sudah terbiasa dengan kehidupan sederhana termasuk tidur di dalam kereta dan menggunakan tandas di hentian rehat dan rawat (R&R) buat membersihkan diri.
“Petugas R&R di mana sahaja yang tidak mengenali saya. Pengawal keselamatan, tukang cuci malah pemandu lori juga kebanyakkannya sudah mengenali saya. Tidur dalam kereta dan mandi di R&R. Saya sudah biasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Red juga memaklumkan bahawa dirinya kini berada dalam fasa berjimat cermat dan masih berusaha bangkit untuk melangsaikan hutangnya yang mencecah RM7 juta secara perlahan-lahan.
Baca juga: Kebanyakan orang kaya hanya pamer gaya hidup biasa-biasa tak macam segelintir ‘orang kaya baru’