Usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida telah memperuntukkan wang mencecah RM200,000 untuk memberikan bantuan banjir kepada mangsa yang terjejas di Kelantan.
Difahamkan, bantuan banjir tersebut diagihkan kepada mangsa yang terlibat di negeri berkenaan dalam bentuk sumbangan makanan, barangan keperluan dan juga wang ringgit.
Menerusi satu hantaran di platform TikTok, anak lelakinya iaitu Muhammad Eric Zaquan atau lebih mesra dikenali sebagai Kacak dilihat sedang membuat panggilan video dengan usahawan berkenaan.
Datuk Seri Vida yang kini dipercayai berada di Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan umrah itu memberi semangat kepada anaknya yang diamanahkan bagi mewakilinya mengagihkan bantuan banjir tersebut.
“Terima kasih anak Mama yang hebat mewakili Mama yang mahu mengerjakan umrah. Semangat anak Mama dalam membawakan perjuangan ‘Habluminallah dan Habluminannas’ (menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia).
“Kali ini kita membantu mereka yang sedang kesempitan dan kesusahan kerana diuji dengan musibah banjir. Tetapi Insya-Allah, kita akan cuba untuk membantu sedaya-upaya kami.
“Bantuan daripada syarikat Vida Beauty dan Kacak ini diberikan dalam bentuk bantuan makanan, barang keperluan dan duit. Ini untuk fasa pertama. Bantuan untuk pasca banjir ada lagi,” kata Vida dalam panggilan video itu.
Kacak yang selamat sampai ke Kelantan dari Ipoh, Perak itu kemudian berkongsi rakaman ketika menghulurkan bantuan banjir kepada penduduk daerah Machang iaitu hentian pertama dikunjunginya.
Remaja berusia 17 tahun itu juga sempat menyampaikan ucapan berharap supaya bantuan banjir tersebut dapat mempermudahkan urusan mangsa selain memohon agar mereka turut mendoakan ibunya.
“Hentian pertama, Machang. Dekat sini kita terus berikan bantuan kepada penduduk yang betul-betul terkesan. Kami beri mereka barangan keperluan memasak seperti beras, tepung termasuk air mineral dan lain-lain.
“Semoga dapat meringankan beban mereka. Mama pula hanya mampu tengok dari jauh,” tulis Kacak di dalam keterangan video yang dikongsikan dalam platform sama melalui akaun miliknya, @kacak.kingdom.
Baca juga: Netizen Indonesia malu dengan Malaysia gara-gara isu ‘trending’ berkait PMX