Datuk Vida kongsi tips jadi kaya raya, amal doa ini untuk dapat rezeki tak disangka-sangka

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa tidak kenal dengan usahawan kosmestik, Datuk Seri Vida yang sering memaparkan kehidupan mewahnya di platform media sosial termasuk ketika membeli barangan berjenama dan melancong ke luar negara.

Namun tahukah anda, usahawan juga pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu selama 12 tahun di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang terletak di Ipoh, Perak sebelum menceburi bidang perniagaan.

Datuk Seri Vida yang juga mesra dikenali dengan gelaran DSV itu kemudian terjun ke dunia perniagaan dengan membuka sebuah salun kecantikan menggunakan modal RM100,000 dipinjamnya daripada pihak bank.

Usahawan itu juga berjaya mengembangkan perniagaan dalam bidang kosmetik dan penjagaan kesihatan dengan penubuhan syarikat Vida Beauty Sdn Bhd yang terkenal dengan produk seperti Pamoga dan Qu Puteh.

Kejayaan dan kesenangan yang dinikmati oleh pemilik nama sebenar Hasmiza Othman itu menimbulkan tanda tanya orang ramai mengenai amalannya selama ini sehingga berhasil bergelar jutawan.

Menjawab persoalan tersebut, Vida tampil berkongsi salah satu amalannya yang boleh diikuti orang ramai sebagai ikhtiar mereka untuk menjadi kaya raya dan dilimpahkan rezeki dengan berdoa secara rutin.

Vida menerusi satu rakaman video mendedahkan bahawa salah satu doa yang diamalkannya adalah daripada surah Al-Imran ayat 23 hingga 26 di mana pembacanya akan dikurniakan rezeki tidak disangka-sangka atas izin Allah.

“Kepada sesiapa yang nak kaya raya, rezeki masuk tanpa diduga-duga dan luar biasa, bolehlah mengamalkannya. Saya kongsikan ayatnya ya. Insya-Allah, anda semua kena amalkan sampai letih,” katanya dalam rakaman itu.

Menerusi rakaman berdurasi satu minit tiga saat itu, Vida turut membacakan doa diamalkannya dalam perkongsian sama sebagai rujukan kepada mereka yang mahukan kehidupan mewah dan kaya raya.

Rakaman tersebut mulanya dikongsikan oleh usahawan itu di akaun TikTok miliknya sebelum dimuat naik semula menerusi satu hantaran di aplikasi media sosial X oleh pengguna platform berkenaan.

Baca juga: Beli kereta mahal tapi tak ‘renew’ roadtax, porsche milik pelakon wanita disita dalam Op Luxury!