DBKL sasar 12 juta pelancong, tingkat keselamatan pengunjung di ibukota

Oleh MALAYSIADATELINE

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mensasarkan 12 juta pelancong antarabangsa ke Kuala Lumpur pada tahun 2016 dan bekerjasama dengan beberapa egensi lain untuk meningkatkan keselamatan pengunjung ke ibu kota Kuala Lumpur kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

Beliau berkata, kebimbangan mengenai keselamatan pengunjung adalah isu global yang semakin meningkat dengan serangan pengganas di Bangkok, Paris, Istanbul dan beberapa bandar lain pada tahun 2015.

Dalam usaha mencapai sasaran 12 juta pelancong, DBKL akan berusaha untuk mempromosikan ibu negara sebagai destinasi pelancongan di peringkat global dan menyusun strategi pendekatan untuk menarik pelancong dan acara korporat.

” DBKL akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan keselesaan pengunjung sepanjang berada di Kuala Lumpur terjamin.

“Kuala Lumpur memerlukan kedudukan bertaraf dunia yang kuat. Oleh itu kami akan membangunkan Kuala Lumpur sebagai satu jenama antarabangsa.

“Satu jenama yang dapat membezakan Kuala Lumpur dari bandar-bandar utama yang lain di Asia dan akan menyampaikan visi KL untuk menjadi destinasi ibu negara terkemuka di Asia untuk menarik perhatian pengunjung antarabangsa,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Biro Pelancongan Kuala Lumpur kali ke-2.

Seramai 15 ahli lembaga penasihat yang terdiri daripada pakar-pakar industri dan pemimpin dari sektor industri pelancongan utama di KL menghadiri mesyuarat tersebut.

Menurut Amin juga, biro pelancongan KL telah memulakan beberapa inisiatif sejak awal tahun ini.

“Inisiatif termasuk pembangunan produk khusus seperti perubatan, pendidikan, pelancongan makanan dan produk mewah, yang akan diperkenalkan dan dipasarkan pada pertengahan tahun 2016,” katanya lagi.

Beliau menambah, perkhidmatan pelancong merangkumi setiap aspek akan dipertingkatkan dan usaha ini termasuklah menambah minimum tiga Pusat Informasi Pelancong (TIC) yang baharu, 80 duta pelancongan KL yang terlatih, perkhidmatan bertaraf dunia oleh pemandu teksi dengan mengadakan seminar hospitaliti barisan hadapan serta memperkenalkan sistem penarafan untuk memastikan standard yang tinggi bagi tenpat tarikan pelancongan dan restoran di Kuala Lumpur.

Beliau juga menegaskan, kebersihan dan keselesaan bandaraya termasuk tandas awam akan dipertingkatkan.

“Kita akan memantau kebersihan restoran-restoran, tandas awam agar pelancong lebih selesa bila berkunjung ke sini,” katanya.