Demi anak dalam kandungan, Siti Jamumall terbuka rujuk semula dengan Aiman Tak Kesah

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh kontroversi, Siti Jamumall tidak menolak kemungkinan untuk kembali semula sebagai pasangan bersama suaminya yang dikenali sebagai Aiman Tak Kesah selepas lelaki itu melafazkan talak pada Rabu lalu.

Perkara itu diakui oleh Siti Jamumall yang juga bergelar usahawan menerusi satu sesi siaran langsung di akaun TikTok miliknya di mana wanita berkenaan mengenang semula kebaikan dilakukan oleh Aiman selama ini.

Walau bagaimanapun, pemilik nama sebenar Siti Suriani Wahidin itu mengakui bahawa keputusan untuk kembali bersama bukanlah sesuatu perkara yang mudah ekoran Aiman juga pernah melafazkan talak sebelum ini.

Namun wanita berusia 26 tahun itu menerima ketentuan Ilahi jika masih ditakdirkan menjadi isteri Aiman yang juga merupakan pempengaruh dengan syarat perlu mendapatkan restu bapanya sebagai wali terlebih dahulu.

“Macam mana sekalipun, ada lagi benda baik yang Aiman pernah buat dekat saya. Malah saya tidak akan pernah lupa. Saya pandang kebaikan dia sahaja. Apa sahaja yang pernah terjadi, semuanya saya maafkan dan lupakan.

“Tetapi untuk balik semula kepadanya, mungkin makan masa. Mungkin sebab perkahwinan itu mudah, apabila bercerai dan rujuk juga jadi senang melafazkan (talak). Sebelum ini saya kahwin keluarga saya menentang.

“Namun sekiranya dia nak bersatu semula demi kebaikan anak-anak, saya terbuka sahaja. Cuma dia kena dapatkan restu daripada wali. Ayah saya masih hidup, jadi dia kena dapatkan restu dia,” katanya dalam siaran langsung itu.

Seperti dijangka, keputusan sedemikian ditentang oleh pengikutnya namun Siti Jamumall menegaskan bahawa perkara itu dilakukan demi anak-anak terutamanya bayi di dalam kandungannya jika benar mereka kembali rujuk.

Perkara itu dimaklumkan oleh pempengaruh terbabit di dalam sesi siaran langsung yang sempat dirakam oleh salah seorang penonton semula dimuat naik semula di platform TikTok menerusi hantaran satu video.

“Kalau Aiman boleh dapatkan restu, insya-Allah dia akan belajar bersabar macam mana ayah saya bersabar dalam membesarkan anak. Saya fikir panjang, bukan untuk diri sendiri sahaja sebab bayi dikandung ini anak perempuan.

“Macam mana pun nanti dia akan cari ayah dia. Kalau tak boleh kembali bersama, kami teruskan sahaja kehidupan macam biasa. Saya juga tak tahu boleh rujuk balik atau tidak,” kesalnya dalam video berdurasi dua minit 49 saat itu.

Terdahulu, Siti Jamumall dan Khairul Aiman Abdul Kudus berbalah di dalam satu siaran langsung yang disaksikan oleh puluhan ribu penonton sehinggalah lelaki itu tidak dapat menahan sabar lalu melafazkan ‘talak dua’.

Pempengaruh terbabit sebelum ini juga mengakui telah berlakunya perceraian buat kali pertama antara mereka sebelum ini namun pasangan itu kembali rujuk selepas mengesahkan lafaz cerai.

Sekadar info, Siti Jamumall diijabkabulkan dengan Aiman sebagai pasangan suami isteri di Satun, Thailand pada Jun tahun lalu dan kini sedang mengandungkan anak pertama mereka bersama.

Pempengaruh itu juga mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran yang kini berusia empat tahun hasil perkahwinan terdahulunya bersama Mohamad Syafiq.

Mereka berdua dikatakan melangsungkan perkahwinan pada 2019 namun sayangnya jodoh pasangan itu tidak panjang dan memutuskan untuk bercerai dan membawa haluan masing-masing pada tiga tahun lalu.

Baca juga: Ini fakta rumah mewah Aliff Syukri yang ramai tak tahu, memang patut digelar rumah agam