Demi isi perut kosong, pemuda buang rasa malu, minta kerja masa tengah cuti sambil kesat air mata

Oleh MAISARAH AISYA

Masih ada orang yang sanggup menggunakan kudrat demi sesuap nasi dan tidak hanya meminta duit untuk ringankan beban.

Malah ada di antara kita yang hidup susah hingga terpaksa kehulur kehilir demi mencari duit harian untuk mengisi perut.

Tular perkongsian di laman Facebook pada Khamis mengenai seorang pemuda yang terdesak mencari pekerjaan di sekitar Duyong, Melaka.

Kisah ini dimuat naik menerusi portal mStar.

Pengguna tersebut memaklumkan ada seorang lelaki muda mendekati suaminya untuk mendapatkan pekerjaan pada hari tersebut.

“Tadi tengah pasang khemah, tiba-tiba datang seorang adik lelaki ni jumpa suami, dia tanya ada kerja kosong atau tidak.

“Dia cakap tak kisah kerja apa pun, dia sanggup buat. Katanya kerja untuk sehari tu je, sebab nak cari duit buat beli lauk.

“Kalau ikut penjelasan adik tu, dia cakap dia kerja kilang tapi hari terbabit dia tengah cuti, jadi tak dapat duit. Dia beritahu kami sambil kesat air mata.

“Hanya Allah je yang tahu perasaan aku apabila dengar situasi adik tu macam mana,” ujar Suzaidah.

Wanita tersebut tidak menunggu lama dan menyuruh lelaki muda untuk parkir motosikal dan memberikannya kerja.

“Walaupun aku tak kenal tapi dia budak Melayu kita, sanggup turunkan ego datang jumpa kami minta kerja sambilan untuk isi perut kosong.

“Aku pun tanpa fikir panjang setuju untuk adik tu kerja dengan kami. Aku suruh dia parkir motosikal dekat tepi, boleh tolong apa-apa kerja yang boleh,” tambahnya.

Pada masa sama dia turut mengalirkan air mata melihat kesusahan pemuda tersebut malah bangga kerana dia tidak kekok meminta kerja.

Wanita itu dan suaminya bersepakat untuk membelikan beras, lauk dan keperluan rumah lain serta memberikan gaji untuk perbelajaan pemuda tersebut.

“Aku pesan dekat adik ni kalau nak kerja sambilan lagi boleh datang kepada kami. Semoga dipermudahkan segala urusan awak adik.

“Ujian ni sebenarnya bukan untuk awak je, tapi Allah datangkan kepada kami juga.

“Sempat juga aku rakam video, rajin adik tu kerja angkat kerusi semua, orang luar tengok mesti mereka ingat dia pekerja tetap kami. Sedihnya hati ni,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Baca juga: Warga emas terpaksa panggil orang kampung tolong kirakan duit yang disimpan 10 tahun dalam bilik