Seorang pemuda berusia 26 tahun akui menyesal membeli kereta Honda Civic berharga lebih RM100,000 semata-mata mahu mendapatkan perhatian rakan-rakannya.
Kata individu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, dia yang bergaji RM4,000 itu akhirnya sedar tidak mampu menampung perbelanjaan bulanan yang cukup tinggi.
Lebih memburukkan keadaan apabila dia turut menggunakan kad kredit untuk menanggung bayaran hutang bulanan sedia ada.
“Saya ingat dengan kita beli kereta Honda Civic ini, dapatlah kita tunjuk kepada rakan lain.
“Tapi sebaliknya berlaku. Baru saya sedar selepas saya beli kereta, ia menyebabkan saya tidak mampu untuk menanggung hutang bulanan lain.
“Ada kalanya saya tak mampu nak bayar hutang itu. Bila saya tak mampu bayar, saya guna kad kredit pula untuk tampung belanja bulanan,” katanya memetik Harian Metro.
Selain itu, dia juga baru menyedari, dengan gajinya yang kecil itu dia sebenarnya belum mampu menggunakan kereta semewah itu.
“Gaji saya sekitar RM4,000 sahaja. Jadi, saya ingatkan dengan membeli kereta berharga lebih RM100,000 itu tak mengapa. Tapi disebabkan saya tinggal di Kuala Lumpur, gaji itu sebenarnya tak setimpal dengan kereta yang saya beli.
“Ini kerana kos-kos lain setiap sebulan yang saya perlu bayar seperti sewa rumah, bayaran tempat letak kenderaan, insurans diri, tol dan makan minum.
“Selain itu, saya juga kena bayar insurans kereta, cukai jalan dan servis kereta yang mahal. Duit gaji sebenarnya tak cukup,” ujarnya lagi.
Baca juga: Dulu tidur dengan pensyarah, wanita bagi alasan ‘terjumpa’ lepas kantoi dengan isteri ‘skandal’