Demo di Dataran Merdeka: Salahuddin, Mahfuz, Saifuddin selesai beri keterangan

Oleh KIM SYAZIE

Tiga Ahli Parlimen Pakatan Harapan hari ini selesai memberi keterangan kepada pihak polis berkaitan himpunan di Dataran Merdeka yang disertai mereka pada 2 Ogos lalu.

Ahli Parlimen yang dipanggil harini termasuklah Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Seri Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Sepanjang proses mengambil keterangan, ketiga-tiga mereka antara lain memutuskan untuk memilih tidak menjawab beberapa soalan yang diajukan pihak polis di bawah seksyen 112 Kanun Keseksaan yang membolehkan saksi untuk tidak menjawab soalan diberikan.

Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH Nasional menegaskan, perhimpunan yang disertai ahli pembangkang itu tidak akan berlaku sekiranya Parlimen dibuka dan mereka tidak dihalang memasuki kawasan Dewan.

Perkara itu disokong Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH, dengan menyifatkan bahawa insiden yang berlaku itu juga disebabkan kegagalan perdana menteri meletakkan jawatannya.

“Ini berlaku kerana kegagalan perdana menteri letakkan jawatan, buat pelbagai angkara dalam Parlimen, menyeleweng Dewan lalu menutup Parlimen.

“Kami hadir hari ini untuk beri keterangan. Saya memilih di bawah seksyen 112 kanun keseksaan, kita memilih untuk tidak menjawab soalan diberikan dan kita jumpa di mahkamah,” katanya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebentar tadi.

Sementara itu, Saifuddin yang merupakan Setiausaha Agung PKR memaklumkan bahawa ini merupakan siri panggilan yang dibuat ke atas Ahli Parlimen blok pembangkang yang telah bermula sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah pun berbincang dan mengemukakan isu berkenaan ke dalam mesyuarat.

Pada masa sama katanya, PH juga menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh untuk hadir memberi keterangan kepada pihak polis.