Misteri kebakaran yang berlaku secara bersiri di Kupang, Baling, Kedah sejak Disember tahun lalu akhirnya terlerai selepas penangkapan seorang suspek dipercayai terbabit dalam melakukan perbuatan tersebut.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan bahawa suspek berusia 23 tahun yang juga merupakan penduduk Kupang itu telah ditahan oleh pihaknya kira-kira pada jam 12.30 tengah malam, Isnin lalu.
Menurutnya, perasaan dendam berikutan sering dibuli di tempat kerja sebelum ini telah mendorong suspek yang merupakan seorang penganggur itu melakukan sembilan kes khianat dengan api.
Datuk Fisol turut menjelaskan bahawa modus operandi suspek adalah dengan mencurahkan minyak petrol ke atas motosikal lalu membakarnya sebelum api merebak ke rumah penduduk, lapor Sinar Harian.
“Suspek juga dipulaukan penduduk setempat dengan sebahagian daripada mangsa dikenali suspek. Suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang getah dan berhenti kira-kira tiga bulan sebelum kebakaran pertama.
“Kebakaran sembilan rumah termasuk dua kenderaan dan 18 motosikal melibatkan kerugian RM770,000. Suspek direman sehingga Sabtu ini,” katanya dalam satu sidang akhbar pada Rabu memetik laporan Sinar Harian.
Dengan penangkapan suspek, kebimbangan penduduk di sekitar Kupang, Baling berikutan kes kebakaran misteri yang melibatkan sembilan buah kediaman di kawasan berkenaan dipercayai berakhir.
Terdahulu, penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kupang, Baling meluahkan rasa runsing berikutan memikirkan misteri kebakaran yang berlaku secara berturut-turut di sembilan lokasi sejak hujung Disember lalu.
Sebahagian besar kebakaran melibatkan motosikal yang diletakkan di hadapan rumah mangsa, selain terdapat juga kejadian api merebak sehingga menyebabkan kereta dan rumah turut terbakar.
Baca juga: Wanita luar negara pelik kenapa rakyat Malaysia tinggalkan ‘google reviews’ untuk tanah perkuburan