Seorang isteri tidak menyangka, wanita yang menjalinkan hubungan sulit dengan suami kesayangannya sanggup menawarkan diri untuk menjadi madu.
Lebih memburukkan keadaan, wanita terbabit tergamak menghubunginya semata-mata untuk meminta tolong memujuk suaminya menghalalkan hubungan mereka.
Berikut perkongsian wanita dikenali sebagai Tiara tentang perjalanan hidupnya sebagai isteri dan juga ibu selepas melayari bahtera rumah tangga selama hampir 25 tahun
“Saya Tiara, berumur pertengahan 40-an. Sudah berkahwin selama hampir 25 tahun dan memiliki seorang anak. Itupun selepas 12 tahun berusaha. Suami aku pula berusia awal 50-an, bekerja dalam bidang profesional. Sebenarnya 10 tahun lepas, saya dapat tahu dia jalinkan hubungan dengan perempuan lain.
“Sebelum terbongkar, saya sudah perasan perangai suami mula berubah. Tetapi dia belum mengenali hati budi saya ketika itu. Jadinya hubungan itu dia jalinkan secara serba rahsia dengan pertolongan kawan-kawan rapatnya. Kalau dahulu dia beritahu nak kahwin lagi satu, sudah tentulah saya memberikan kebenaran.
“Kami ketika itu berada di dalam fasa selesa dengan kerjaya masing-masing. Urusan saya adalah anak, kerja dan yang terakhir barulah suami. Dia juga macam itu. Walau sudah agak suami ada hubungan luar, tetapi saya diamkan sahaja sebabkan nak dia mengaku sendiri. Saya sudah siap sedia kalau dia minta izin nak kahwin.
“Saya izinkan kalau suami minta. Namun dari hari ke hari, minggu ke bulan hinggalah ke tahun. Dia masih senyap dan layan saya dengan anak seperti biasa. Jadinya saya beranggapan mungkin hubungan mereka setakat ‘bermain cinta’. Perubahan sikap ini bukanlah setakat firasat. Tetapi memang rakan rapat saya nampak.
“Mereka perasan banyak kali juga suami dan perempuan tersebut keluar berkepit ke sana sini. Perempuan itu cantik, tinggi dan putih. Memang tak padanlah dengan suami. Tetapi dia memang mulut manis, konon baik dan mengambil berat. Agaknya, sebab itulah yang membuatkan perempuan melekat dengan dia.
“Selepas beberapa ketika, saya menerima satu pesanan di aplikasi Whatsapp. Orang itu mahu bercakap melalui panggilan telefon. Rupanya, teman wanita suamilah yang telefon. Katanya suami sudah memutuskan hubungan mereka sebulan lalu. Mulanya, saya menghela nafas sebelum bertanya di manakah nombor ini diperolehi.
“Kekasihnya beritahu nombor itu diambil daripada telefon suami tanpa pengetahuan dia. Saya tanyalah buat apa telefon kalau hubungan itu sudah diputuskan. Tiba-tiba wanita itu menangis meraung. Terkejutlah saya. Di dalam sedu tangis dia maklumkan yang suami mula menjauhkan diri sebelum minta putus.
“Hubungan mereka rupanya sudah ke bilik tidur macam pasangan yang berkahwin. Sepanjang setahun setengah mereka berhubungan, hampir beratus kali berzina. Saya memang terpana. Bukan main lagi, dengan isteri yang sah boleh dikira dengan jari berapa kali kami berhubungan dari awal kahwin sampailah panggilan itu dibuat.
“Selepas bekas kekasih suami habis menangis, saya tanyalah apa sebenarnya yang dia mahu. Tak akanlah hanya suruh dengar kisah mesra mereka tanpa hala tuju. Dia kemudian meminta saya tanya suami kenapa buat begitu sedangkan dia ikhlas cinta dan menyayanginya. Siap sanggup jadi isteri kedua asalkan dapat kahwin.
“Dengan tak malunya perempuan itu minta saya memujuk suami supaya terima dia semula. Entah kenapa saya sedikit pun tak rasa marah kepada mereka. Saya janjilah akan maklumkan kepada suami sebelum letak telefon. Malamnya itu, saya teruslah tanya tetapi seperti yang dijangka, dia senyap tak berkutik.
“Suami tak minta maaf, mengaku salah mahupun menidakkan perkara itu. Percaya atau tidak, itulah kali terakhir saya bercakap mengenai perkara itu sampai sekarang. Agak kecewa tetapi memandangkan diri ini memang serba serbi tenang, saya malas nak serabut dan berhenti sahaja fikirkan perkara tersebut.
“Dua hari kemudian, perempuan itu telefon semula bertanyakan respon suami. Saya jelaskan yang bekas kekasih dia langsung tak mahu bercakap mengenai perkara itu. Sebaik dengar, menangislah perempuan itu dengan berianya. Cakaplah saya sayang dan cintakan dia. Kena berkahwin dengan dia sebab sudah ‘disentuh’.
“Saya yang dengar ini dapat rasa yang perempuan itu memang sedih dan patah hati sungguh. Saya nasihatkan agar dia terima sahaja kenyataan. Dia hanya cakap hatinya betul-betul hancur. Itulah perbualan terakhir kami. Namun selepas kejadian itu, hubungan saya dan suami kembali rapat zahir dan batin.
“Saya beranggapan suami sudah menyesal dan nampaklah dia bertaubat. Sebagai isteri, saya pilih untuk teruskan perkahwinan dan menjalani hidup macam biasa. Saya juga sudah tak mendengar berita tentang bekas kekasihnya. Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, saya perasan suami menerima ujian bertimpa-timpa.
“Perniagaan rugi, tiga kali terlibat dalam kemalangan. Malah salah satu daripadanya hampir meragut nyawa suami. Dia juga sentiasa serabut. Saya anggap ini ujian dari Tuhan. Tetapi hati kecil saya sering tertanya, mungkinkah ini kifarah dia kerana telah mainkan perasaan bekas teman wanita yang ikhlas menyayangi dia?.
“Saya mulalah mencari tahu mengenai bekas kekasihnya daripada seorang rakan. Dia mengenali sahabat kepada perempuan itu. Saya berharap yang perempuan itu sudah berkahwin, ada anak dan hidup bahagia. Namun sebaliknya berita yang saya dapat. Rupanya dia kecewa teruk. Berbulan-bulan menangis dan berubat sana sini.
“Siap berhenti kerja dan balik kampung. Sekarang kerja di kampung halaman, doktor juga sahkan perempuan itu menghidap tekanan pasca-trauma (PTSD). Dia juga tak kahwin sampai sekarang. Saya juga cuba cari akaun sosial media miliknya. Lain sungguh wajahnya jika dibandingkan penampilan yang diceritakan kepada saya.
“Wajahnya berubah menjadi gelap kusam. Badannya masih langsing tetapi mukanya seakan menanggung segala remuk redam. Lagilah kuat tanggapan saya di atas apa yang terjadi kepada suami. Adakah segala bala yang suami hadap sekarang ini atas sebab kifarah dia hancurkan hati manusia yang lain?.
“Kalau sebab kesalahannya kepada saya, tak rasa begitu pula. Sebab saya ini orang yang jenis tak mahu pening kepala. Saya sentiasa maafkan suami dunia dan akhirat. Saya nak hidup tenang tenang, Saya nak sangat berbincang dengan suami tentang bekas kekasihnya itu. Tetapi saya tahu, suami akan pilih untuk senyap dan diam.
“Saya nak sangat-sangat suami mengaku salah dan silapnya sebelum minta maaf daripada bekas kekasihnya dunia dan akhirat. Macam mana ya?.” Soal Tiara (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran dimuat naik di sebuah forum popular di atas talian.