Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan isu banjir yang bermula jam 10 pagi ini kecoh apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap menyindir ahli parlimen dikatakan hilang dari radar ketika musibah banjir berlaku di kawasan mereka.
Berikutan sindiran itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bangun mencelah dan meminta Ahli Parlimen Bera itu menjelaskan siapa ahli parlimen yang dimaksud beliau.
Selain Ahli Parlimen Shah Alam turut bangun adalah Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, kedua-dua mereka ini bangun mempertahankan diri selepas disindir hilang ketika musibah banjir berlaku.
Gobind turut mempersoalkan kenapa Perdana Menteri tidak memaklumkan kepada ahli parlimen untuk turun di kawasan banjir.
Ismail membalas “saya turun tidak bagi tahu MP sebab banjir adalah kecemasan”.
Namun, Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu turut mencelah dan meminta Perdana Menteri tidak perlu sindir-menyindir atau tuduh-menuduh kerana persidangan ini adalah untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah banjir.
“Kita tidak mahu tuduh-tuduh kita nak cari jalan penyelesaian,” kata Ahli Parlimen Kota Raja
“Tidak perlu sindir-menyindiri ini adalah sidang untuk selesaikan masalah,” ulang Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub,
Speaker Tan Sri Azhar Azizan Harun turut bersetuju dengan teguran yang dibuat oleh Kota Raja dan Pulai.
Kekecohan ini menyebabkan Azhar Harun memberi amaran kepada ahli parlimen yang membuat kecoh akan dihalau keluar dewan
“Siapa yang kacau akan makan angin di luar,” kata Speaker.
Sidang khas hari ini bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.