Selepas Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 diluluskan di Dewan Rakyat minggu lalu melalui undi belah bahagian, harapan kini dilihat terletak pada keputusan Dewan Negara yang sedang bersidang pada masa ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong wajar menjadi penyelamat bagi mengelakkan Malaysia menjadi negara dikuasai pemerintah diktator.
“Di bahu YB (Yang Berhormat) Ahli-Ahli Dewan Negara semualah sebagai benteng akhir mempertahankan Yang di-Pertuan Agong sebagai kuasa semak imbang untuk mengisytiharkan darurat dengan membantah dan menolak Akta MKN,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menyifatkan penggubalan, pembentangan dan kelulusan Akta MKN di Dewan Rakyat merupakan perbuatan kerajaan BN yang sangat rakus, beliau menyifatkan, kuasa Allah juga mahu dirampas oleh kerajaan BN jika dibolehkan.
“Kewujudan Akta MKN adalah satu lagi proses pemusatan kuasa Perdana Menteri dengan mengenepikan peranan perlembagaan sebagai kuasa tertinggi perundangan negara. Akta MKN telah dengan sendirinya menafikan tugas Duli Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytihar darurat,” jelasnya.
Menurut pemimpin PAS itu, walaupun peruntukan tersebut masih wujud dalam perlembagaan tetapi Akta MKN secara licik merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengisytihar darurat dengan berselindung atas nama kawasan keselamatan.
“Berselindung di sebalik keselamatan, kuasa PM (Perdana Menteri) boleh saja disalahguna apabila keselamatan politik dan ancaman terhadap kedudukan kuasa PM terancam bagi membolehkan beliau terus berkuasa,” katanya.
Memandangkan, jelasnya, tiada lagi peranan semak imbang Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara untuk melindungi negara dan rakyat, beliau menggesa supaya Majlis Raja-Raja Melayu bertindak.
“Sudah tiba masanya Majlis Raja-Raja Melayu yang tidak pernah dirujuk dalam isu Akta MKN bertindak menghalang Akta MKN dibentang dan diluluskan di Dewan Negara kerana setiap Raja-Raja akan bergilir menjadi Yang di-Pertuan Agong.
“Sudah pasti sebagai Yang di-Pertuan Agong yang memayungi negara dan rakyat perlu memiliki kuasa semak imbang untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dilakukan oleh Perdana Menteri,” ujar Mahfuz lagi.
Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan rang undang-undang MKN dengan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan itu tanpa sebarang pindaan dengan 107 undi menyokong manakala hanya 77 lagi undi menolak.