DFC Puncak Alam nasihat pelanggan qada’ puasa, mohon maaf siar azan Maghrib awal

Oleh MALAYSIADATELINE

Pihak DarSA Fried Chicken (DFC) mengulang siar semula kenyataan permohonan maaf yang dimuat naik pada 17 Mac lalu berhubung kesilapannya memainkan laungan azan Maghrib lebih awal di cawangan Puncak Alam.

Kesilapan tersebut telah menyebabkan pelanggannya di cawangan berkenaan berbuka puasa pada pukul 7.26 malam iaitu tiga minit lebih awal daripada waktu sebenar azan Maghrib berkumandang.

Sedangkan berdasarkan rujukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), waktu sebenar untuk berbuka puasa di kawasan sekitar Kuala Selangor di hari kejadian berlaku ialah pada pukul 7.29 malam.

Kenyataan itu diulang siar semula di platform Facebook semalam sebagai makluman kepada kesemua pelanggan restoran yang datang berbuka puasa di cawangan Puncak Alam pada tarikh 17 Mac 2025.

“Kami mengambil maklum bahawa kesilapan ini telah menyebabkan pelanggan berbuka puasa lebih awal daripada waktu sepatutnya. Kami dengan penuh rasa tanggungjawab memohon maaf atas kekhilafan ini.

“Kami amat menghargai kesedaran serta keprihatinan pelanggan yang telah memaklumkan perkara ini kepada kami. Kami juga telah mengambil langkah-langkah pembetulan bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

“(Tindakan ini) Termasuk menyemak dan menyelaraskan waktu azan dengan jadual rasmi solat,” kata pihak pengurusan DarSA Puncak Alam menerusi kenyataan tersebut.

Dalam perkongsian sama, pihak restoran turut menasihati para pelanggan yang berbuka awal di hari kejadian untuk menggantikan semula ibadah puasa mereka kelak bagi mematuhi hukuman syarak.

Pihak DarSA Puncak Alam turut mengatakan komitmen mereka untuk memberikan pengalaman terbaik kepada semua pelanggan selain menghargai kepercayaan yang diberikan oleh para pengunjung.

“Sehubungan itu, kami ingin menasihatkan pelanggan yang telah berbuka pada waktu tersebut untuk menggantikan (qadha’) puasa bagi mematuhi hukum syarak.” Ujarnya.

Baca juga: Raya dah dekat? Ini cara mudah nak bersihkan rumah!