Dibuang kerja sebab balik seminit awal, wanita menang saman

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang syarikat ambil ringin mengenai pemberhentian staff tanpa memberikan sebarang amaran.

Tapi ramai lupa pekerja sekarang menitikberatkan hak mereka maka proses melibatkan undang-undang adalah cara untuk ‘mengajar’ syarikat untuk tidak sewenangnya membuat keputusan.

Tular satu kes di syarikat yang tidak dinamakan, terletak Guangzhou, wilayah Guangdong apabila pekerja wanita dipecat atas alasan tidak munasabah.

Syarikat itu menjadikan alasan dia pulang kerja satu minit lebih awal dari masa ditetapkan selama enam hari dalam sebulan untuk menghentikan khidmatnya di tempat berkenaan lapor South China Morning Post.

Wanita yang dikenali sebagai Wang itu bagaimanapun sudah memenangi kes saman terhadap bekas majikannya.

Wang dikatakan sudah bekerja selama tiga tahun dengan syarikat berkenaan serta mempunyai rekod prestasi yang agak baik.

Disebabkan itu, mahkamah tempatan memutuskan bahawa syarikat tersebut telah memecat Wang secara tidak sah dan bahawa dia harus dibayar pampasan dan jumlahnya tidak dinyatakan.

Mahkamah menjelaskan bahawa tindakan Wang yang pulang satu minit lebih awal dari jadual kerjanya tidak dianggap sebagai ‘pulang awal’.

Mahkamah juga menyatakan bahawa syarikat tidak mengeluarkan sebarang amaran kepadanya, malah mereka tidak cuba untuk membetulkan kelakuannya.

Keputusan mahkamah menyatakan bahawa pemecatan Wang adalah tidak sah kerana ia kekurangan bukti dan tidak munasabah.

Menurut Wang, pada akhir tahun lalu seorang pengurus sumber manusia telah menghubunginya untuk memaklumkan dia mengenai rekod pengawasan pejabat.

Rekod tersebut menunjukkan dia telah meninggalkan mejanya satu minit lebih awal daripada waktu yang ditetapkan selama enam hari dalam sebulan.

Baca juga: Sekolah anjur jamuan raya ala bufet sampai buka 7 ‘kiosk’, meriah macam festival makanan!