Tiga penyampai radio popular Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa mempersendakan agama Hindu menerusi hantaran video di media sosial.
Mereka juga mengakui langsung tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak sebaliknya amat menghormati kepercayaan setiap individu di negara ini tanpa mengira bangsa atau agama.
Difahamkan, isu mulai timbul selepas salah seorang dari penyampai segmen Tiga Pagi Era iaitu Azad membuat aksi tarian berlatarbelakangkan mantera suci Hindu, Vel Vel yang melambangkan keimanan serta kekuatan agama itu.
Perbuatan ini kurang disenangi oleh sebahagaian besar masyarakat yang menganggapnya sebagai seakan-akan mempersendakan agama Hindu terutama apabila tarian itu disambut dengan sorakan oleh rakan penyampai lain.
“Kami dari Tiga Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan juga Radin ingin memohon maaf kepada semua pihak berkaitan video kami yang dimuat naik di laman sosial Era baru-baru ini.
“Berhubung aksi kami yang kurang menyenangkan dan telahpun menyinggung hati segelintir pihak dan sahabat-sahabat kami yang berbangsa India. Sebenarnya kami juga mengakui kesilapan serta kekhilafan kami.
“Kami juga akan pastikan perkara yang sama tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” kata Nabil Ahmad dan Radin dalam permohonan maaf dimuat naik di laman TikTok stesen radio berkenaan.
Azad atau nama sebenarnya, Azad @ Jazmin John Louis Jefri kemudian sekali lagi memohon maaf selain turut menegaskan bahawa pihak radio sentiasa terbuka untuk menerima kritikan bagi memperbaiki diri terutama dari pendengar setia Era FM.
Terdahulu, Pemuda MIC iaitu Siva Shanker Santasegran tampil menegur perbuatan tersebut yang bukan sahaja tidak menghormati malah turut menunjukkan kurangnya kepekaan terhadap budaya dan agama lain.
Siva menjelaskan bahawa mantera suci Vel Vel berkenaan amatlah dihormati oleh jutaan penganut Hindu di seluruh dunia dan tidak sepatutnya digunakan di dalam konteks jenaka.
Pemimpin terbabit turut menggesa pihak stesen radio untuk mengadakan latihan kesedaran mengenai budaya dan agama lain bagi memastikan insiden seperti ini berulang lagi di masa hadapan.