Dihujani komen negatif, Ruhainies tak marah, rasa simpati dengan netizen

Oleh MAISARAH AISYA

Setiap kali ada isu melibatkan selebriti maka netizen antara golongan pertama membanjiri komen negatif di media sosial anak seni berkenaan.

Tidak hairanlah banyak artis memilih untuk memadam atau tidak membaca terus komen ditinggalkan di hantaran mereka.

Terpalit kontroversi selepas isu ditangkap khalwat bersama pelakon Aliff Aziz, pelakon Ruhainies tidak terkesan dengan komen ditinggal netizen lapor Kosmo! Online.

“Ada yang tanya saya kenapa tidak maki semula ‘haters’ dalam media sosial. Selalunya yang jenis begini rasa nak marah tetapi kadang-kadang comel juga.

“Mungkin mereka pun bosan dengan kehidupan sendiri.

“Sebab kalau sibuk atau gembira dengan hidup, tak mungkin nak komen di Instagram orang lain,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Jelasnya dia merasa simpati akan mereka yang meninggalkan komen negatif dan menganggap tulisan itu melambangkan diri penulis.

“Jadi, saya pun hanya bersangka baik sahaja. Kalau rimas, saya padam.

“Nak rasa benci pun tidak sebab apa yang mereka tulis melambangkan diri mereka sendiri kepada saya.

“Maka, sebab itu saya tak marah, lebih kepada simpati,” kongsinya.

Baca juga: Mengalir air mata Noorkhiriah masuk liang lahad, anggap hadiah terbesar dari Allah