Bekas personaliti TV3, Norjuma Habib Mohamed diisytihar bankrap kerana gagal melunaskan hutang RM260,400 kepada Syarikat Fame Up Entertainment.
Perintah kebankrapan itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas mendengar petisyen pemiutang yang difailkan oleh syarikat tersebut.
Keputusan petisyen yang difailkan pada Oktober tahun lalu itu disampaikan oleh Timbalan Pendaftar, Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.
Petisyen tersebut dipohon Fame Up Entertainment selepas Norjuma gagal membuat bayaran yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Okt, 2021.
“Hari ini merupakan tarikh pendengaran petisyen pemiutang, tetapi Norjuma gagal hadir sebanyak tiga kali.
“Mahkamah memutuskan (Noorjuma) bankrap selepas dia gagal melunaskan bayaran untuk petisyen pemiutang,” kata Muhammad Hassanuddin Roslan.
Menurut Hassanuddin yang merupakan peguam mewakili pemiutang, prosiding waran tangkap terhadap Norjuma bakal diteruskan.
Hal ini kerana, usahawan yang terkenal dengan produk tudung bawal Aidijuma itu tidak pernah hadir di mahkamah semenjak kes tersebut bermula.
Terdahulu, syarikat Fame Up Entertainment telah memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma pada tahun 2019 dan 2020.
Baca juga: Mahu keluar duit KWSP untuk barang sekolah, warganet persoal mana hilang duit bantuan RM150