Masih ada stesen TV yang liat bayar gaji selebriti walaupun kerja tersebut dilalukan setahun lalu malah pelbagai alasan diberikan.
Kalau sebulan dua mungkin boleh terima lagi tapi jika sudah hampir setahun pun tiada bayangan bayaran itu, pastinya akan ada pihak yang tak berpuas hati.
Buat pelawak Man Raja Lawak, dia meluahkan rasa kecewa dengan pengurusan sebuah stesen TV yang gagal menjelaskan bayaran hasil kerjanya sejak setahun lalu lapor Harian Metro.
Man memaklumkan dia pernah ditawarkan sebagai juri untuk satu program stesen TV terbabit membabitkan dua lokasi iaitu Kuala Lumpur dan Kuantan selama empat hari.
“Di Kuala Lumpur modalnya tak besar, tapi penatnya lain macam. Bayangkan kerja dua hari dari pagi membawa ke malam.
Begitu juga di Kuantan kerja dua hari dari pagi sampai malam. Mereka pun tak bagi duit petrol dan lain-lain kerana itu dah termasuk dalam bayaran saya.
“Saya dibayar RM1,000 sehari dan empat hari untuk dua lokasi jumlahnya RM4,000,” katanya seeperti dipetik Harian Metro.
Perkara tersebut dikatakan semakin rumit apabila berurusan dengan orang tengah yang sering beri pelbagai alasan.
“Bila kita tanya, katanya dalam proses. Biasanya bayaran paling lambat pun tiga bulan. Ini dari tiga bulan, menganjak ke enam bulan, lapan bulan dan sekarang dah setahun.
“Baru-baru ini saya ada jumpa dia. Katanya nak selesaikan hujung Julai tapi ini dah masuk 2 Ogos tak nampak pun. Saya dah beritahu dia awal-awal kalau dia tak buat apa-apa tindakan sampai Ogos, saya pula yang akan bertindak.
“Tak kisah pun kalau dia kata ada masalah semua tapi sekurang-kurangnya adalah sikit-sikit. Ini langsung tak bayar.
“Pergi Kuantan saya keluarkan kos RM1,000 bayar pembantu peribadi, makan minum, petrol dan tol. Bukan dekat tempatnya,” katanya.
Pada masa sama Man menghebahkan perkara tersebut agar tiada artis lain yang menerima nasib sepertinya dan lebih berhati-hati dalam memilih pekerjaan.
“Saya pula jenis tak berkira bila buat kerja. Walaupun bayaran taklah besar mana pun, tapi dari duduk rumah tak buat apa, rasanya oklah kita bantu. Tak sangka pula kita kena ‘lipat’ macam ini.
“Tapi tak apalah, kalau dia tak ambil tindakan sekurang-kurangnya saya hebahkan, beritahu supaya apa-apa dia nak tawarkan atau sesiapa dapat tawaran dari stesen ini agar lebih berhati-hati supaya jangan ramai terkena,” katanya.
Baca juga: Rezeki tak salah alamat, Zamarul Hisham hairan masih dapat tawaran jadi hero walau di usia 53 tahun