Sejak dua menjak ini nama pelakon Azlan Komeng meniti di bibir wargamaya selepas isterinya Nur Nilam mendedahkan dia bakal berkahwin lagi.
Bagaimanapun Azlan menjelaskan sehingga kini dia masih mempertimbangkan hasrat mahu berpoligami lapor Harian Metro.
“Saya tak boleh cerita secara terperinci, saya kena menjaga hati kedua-dua pihak. Namun, segala perancangan sedang berjalan.
“Insya-Allah, perkara ini (berpoligami) masih dalam pertimbangan dan perjalanan. Saya pun tak tahu lagi, nak kata tidak, tak boleh. Nak kata ya pun tak tahu.
“Saya masih lagi berfikir, banyak perkara kena pertimbangkan. Saya bukannya tiada pengalaman,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Jelasnya, ini bukanlah pengalaman pertama dia berpoligami dan ia bukanlah satu perkara yang perlu dibanggakan.
“Saya pernah berpoligami. Ketika awal perkahwinan dengan Nur Nilam, dia pernah pinangkan kawannya jadi madu. Cuma, dalam keadaan sekarang sangat berbeza.
“Kejadian, kaedah, asbabnya semua berbeza dan saya belum boleh berkongsi. Sebelum ini, saya kahwin dua tiada siapa kisah pun, mungkin saya tak ‘viral’ lagi. Kali ini, saya perlu mempertimbangkan banyak perkara,” katanya.
Dalam pada itu, Azlan mengaku kecewa apabila dihentam teruk oleh netizen sedangkan dia meminta izin isterinya dan bukan kahwin senyap-senyap.
“Kalau saya sembunyi, mungkin saya kesal. Saya agak kecewa dengan netizen. Jika berpoligami dengan cara betul, jadi kenapa tak puas hati?
“Ada yang mendoakan bukan-bukan. Itu bukan cerminan diri, kita tak tahu masalah orang. Saya sudah lalui pelbagai asbab dalam rumah tangga.
“Saya tak pernah membelakangkan isteri, lainlah saya menipu dan berkahwin secara senyap. Itu bolehlah nak marah,” katanya.
Baca juga: Pasangan India ini cuba berpuasa buat pertama kali tuai pujian ramai