Dimaki pihak produksi, Siti Khadijah pernah terfikir nak berhenti dunia hiburan

Oleh MAISARAH AISYA

Menjadi kebiasaan untuk pelakon baru dimarahi pihak produksi untuk memastikan kualiti lakonan mereka bertambah namun tidak perlu melebih-lebih marahnya.

Kalau jenis yang tak kuat sangat, sekali dimarahi pasti akan terus berhenti tapi ada juga menganggap pengalaman sebagai satu perkara mendewasakan.

Buat pelakon yang namanya semakin naik, Siti Khadijah Halim berkongsi pengalaman menjadi mangsa buli pada awal kemunculan dalam industri seni.

Jelas pelakon berusia 27 tahun itu, dia hampir berhenti dari dunia hiburan malah menganggap budaya buli agak keterlaluan lapor portal mStar.

“Saya pernah lalui pengalaman yang tak seronok, pelakon baharu selalu kena marah serta maki dengan pihak produksi.

“Sampai satu tahap ada rasa nak berhenti, awal-awal masuk industri saya benci betul jadi pelakon.

“Saya tak salahkan sepenuhnya kepada orang yang buli saya, mungkin ada salah saya juga. Tetapi tindakan mereka itu agak melampau,” katanya seperti dipetik mStar.

Pada masa sama, sebagai pelakon yang sudah ada pengalaman, Siti memaklumkan cuba sebaik mungkin untuk menyuarakan pendapat mengenai budaya buli dalam industri seni.

“Saya akui semua itu normal tapi saya tak rasa ia patut dinormalisasikan. Nak nasihat boleh tapi jangan biadap, tak perlu malukan dia depan orang ramai.

“Saya tahu pengalaman itu tak menyeronokkan jadi saya sedaya upaya tak mahu pelakon baharu lain rasa pengalaman yang sama.

“Dan sekarang bila dah lama dalam industri. Kalau saya nampak benda begitu terjadi depan mata, saya akan pertahankan orang itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Siti juga sering berkongsi ilmu dengan pelakon baru, mengakui dirinya tidak menerima bimbingan pelakon senior lain.

“Misalnya, saya kongsi teknik lakonan atau tips untuk menangis sebab masa saya mula-mula masuk, tiada sesiapa pun yang beritahu saya.

“Saya sangat ambil berat tentang mereka, buli orang bukanlah cara yang betul. Secara peribadi saya tak suka tengok orang lain dipergunakan,” tambahnya.

Baca juga: Baru tahu ini waktu terbaik untuk jual aset emas anda, rugilah kalau simpan sahaja!