Selepas lama menyepi, nama pelakon Beego kembali muncul apabila isterinya yang juga penyanyi Linda Hashim menuntut cerai.
Kini Beego dilihat aktif mengikuti program gerakan bersama tabligh dan ini menyebabkan orang mula menyindirnya.
Tidak mahu salah faham timbul, Beego menegaskan dia sudah lama mengenali dan berkawan dengan jemaah tabligh lapor Berita Harian.
“Saya berkawan dengan ramai jemaah tabligh, sejak dahulu. Sebelum ini, saya ada juga pergi ke markas di Masjid Sri Petaling.
“Tapi, mereka ini bukanlah kita boleh cakap sebagai kumpulan, mereka menyertai tabligh sebab nak menghidupkan sunnah Rasulullah. Jadi, saya pun nak belajar.
“Sebenarnya, asas ilmu agama sudah ada sebab pergi sekolah, cuma kali ini, rakan ajak ke Pulau Perhentian selama tiga hari. Saya sebenarnya sudah lama nak ikut Maulana Helmi, tapi tidak berkesempatan.
“Jadi, bila ada masa terluang saya pergilah. Alhamdulillah, dapat juga saya merasa dan memperoleh ilmu,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Tegasnya, dia menyertai gerakan tabligh bukanlah disebabkan masalah rumah tangga, sebaliknya dia cuba perbaiki diri.
Dalam masa sama dia sedar ada yang memandang sinis akan penyertaannya dengan tabligh namun itu bukanlah satu masalah.
“Yang nak pandang sinis, tak mengapa, itu biar Allah bukakan hati dan fikiran mereka sentiasa melihat sesuatu benda dari sudut positif. Memang sikap manusia suka skeptikal, saya okay sahaja.
“Saya pun tak cakap saya baik dan tak minta pujian, malah saya tak minta muat naik gambar saya. Tapi, lepas ‘upload’ mereka minta maaf.
“Bagi saya, perkara ini sebenarnya tiada masalah sebab saya pergi untuk diri sendiri. Kalau orang pandai sinis, biarlah. Sekurang-kurangnya saya keluar selama tiga hari ada banyak benda yang dipelajari.
“Kalau saya pergi, ada yang nak ikut, Alhamdulillah. Manalah tahu berkat doa orang alim, ulama dan ustaz untuk saya jadi manusia lebih baik,” jelasnya.
Malah Beego memaklumkan seandainya jodoh bersama isteri tidak panjang, dia akan reda dan fokus demi masa depan sama ada kekal solo atau bersama orang lain.
Baca juga: Riena Diana nafi jalani pembedahan plastik, telinga tak nampak capang sebab pakai gam