Diskaun 50 peratus saman tamat 30 Disember, JPJ dedah baki RM4.89 juta masih tertunggak

Oleh MAISARAH AISYA

Walaupun diskaun sehingga 50 peratus ditawarkan bagi kesalahan tertentu, masih terdapat segelintir individu yang memilih untuk melengahkan pembayaran saman.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggesa orang awam segera menyelesaikan saman tertunggak susulan tempoh diskaun 50 peratus ditawarkan.

Tawaran tersebut berlangsung sejak 1 Disember dan akan berakhir pada 30 Disember ini.

Bagaimanapun Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan hanya kira-kira 520,000 saman berjaya diselesaikan lapor Kosmo! Online.

Jumlah kutipan bayaran baru sahaja mencecah RM70 juta daripada RM4.89 juta saman tertunggak melibatkan nilai hampir RM1.4 bilion yang belum dijelaskan oleh orang awam.

“Tempoh diskaun ini berbaki kira-kira 14 hari sahaja lagi. Kita menggesa orang ramai supaya segera menyemak dan menyelesaikan saman masing-masing sebelum 30 Disember.

“Mulai 1 Januari 2026, tiada lagi diskaun akan diberikan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Kongsinya, semakan saman boleh dibuat melalui aplikasi MyJPJ, portal rasmi JPJ atau hadir terus ke kaunter JPJ di seluruh negara.

Beliau menjelaskan sebahagian besar saman tertunggak melibatkan individu yang masih aktif, termasuk saman yang direkodkan lebih daripada 10 tahun lalu.

“Diskaun 50 peratus ini melibatkan saman kadar tetap. Contohnya saman RM300 hanya perlu dibayar RM150 sepanjang tempoh diskaun ini.

“Ini peluang terbaik untuk orang ramai menyelesaikan saman yang banyak dengan kos lebih rendah.

“Selepas 30 Disember, tiada lagi pengurangan bayaran akan diberikan,” tambahnya.

Baca juga: Pesuruhjaya Kanak-kanak sokong langkah SKMM perkukuh keselamatan dalam talian, seru akauntabiliti bersama