Pemandu lori yang disyaki meninggalkan komen berbaur ugutan bunuh terhadap penyanyi, Baby Shima menerusi platform Facebook sudah ditahan pihak polis, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, suspek yang merupakan lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di Kota Sentosa, Kuching, Sarawak pada pukul 9.15 malam.
Penahanan dibuat susulan Baby Shima membuat laporan pada 30 Disember lalu dan pihak polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di mahkamah Sibu, hari ini, lapor Harian Metro.
Dalam penahanan itu, pihak polis turut merampas telefon pintar milik suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pada 30 Disember jam 11.31 malam, polis menerima satu laporan daripada mangsa iaitu seorang artis perempuan bahawa beliau terbaca satu komen yang dibuat oleh suspek tidak dikenali di platform media sosial dengan kenyataan berbaur ugutan dan mengancam keselamatannya.
“Mangsa (Baby Shima) berada di Sibu ketika ini atas urusan kerja,” katanya yang menyeru orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika menggunakan platform media sosial.
Jelas Zulkipli, pengguna platform media sosial perlu lebih berhati-hati dalam meninggalkan sebarang komen atau memuat naik apa-apa kenyataan agar tidak melampaui batas dan menyalahi undang-undang.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli itu tampil membuat laporan di Balai Polis Sibu ditemani oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, pada 30 Disember lalu.
Laporan polis berkenaan dilakukan susulan Baby Shima menerima komen daripada seorang pengguna Facebook yang memintanya agar berhati-hati sekiranya tidak mahu pulang sebagai mayat.
Baby Shima turut memuat naik beberapa tangkap layar di platform Instagram memaparkan komen berbaur ugutan berkenaan bersama nama pengguna Facebook berserta gambar individu yang dipercayai pemilik akaun.
Susulan penularan identitinya, pemilik akaun yang juga merupakan pemandu lori tampil membuat penafian bahawa dirinya terlibat dalam membuat hantaran berbaur ugutan bunuh tersebut.
Pemandu lori itu sebaliknya mengakui bahawa akaun Facebook miliknya telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab dengan tujuan tidak munasabah malah telah membuat laporan polis mengenainya.
Baca juga: “Jangan pulang Malaya dengan mayat” – Baby Shima terima ugutan bunuh, buat laporan polis