Ditahan reman kerana buat laporan polis palsu, penolong pengurus dakwa diri dipukau

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita tempatan didapati membuat satu laporan polis palsu selepas mendakwa dirinya dipukau oleh seorang warga emas.

Akibat daripada insiden berkenaan, penolong pengurus itu mendakwa wang milik syarikatnya berjumlah RM3,766 hilang dari pegangannya.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, wanita itu kononnya dipanggil ke satu lorong oleh seorang warga emas.

Wanita itu kemudian tersedar dalam keadaan terduduk sebelum mendapati wang syarikat yang perlu dimasukkan ke dalam bank sudah hilang.

Mendakwa dirinya dipukau dan tidak menyedari apa yang berlaku, pihak polis mendapati keterangan yang dibuat oleh wanita itu agak meragukan.

Selepas disoal siasat, dia ditahan reman selama tiga hari sejurus mengaku menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi.

“Wanita berkenaan sebenarnya terpedaya dengan ‘scammer’ dan menggunakan wang syarikat untuk membayar ‘scammer’ berkenaan. 

“Dia membuat laporan polis kerana tidak mampu menggantikan wang syarikat,” katanya yang memaklumkan wanita itu ditahan bagi membantu siasatan

Mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, wanita itu boleh dipenjara enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

“Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang didapati membuat laporan polis palsu.” Tambahnya.

Baca juga: Syarikat Cina ‘dibumiputerakan’, Anwar dedah satu lagi skandal Jana Wibawa