Isu artis ditipu penganjur ini bukanlah satu perkara baru namun ia amatlah menyedihkan kerana kebanyakan penyanyi bergantung kepada persembahan untuk jana pendapatan.
Pernah ditipu penganjur, kumpulan nasyid Rabbani mengakui menanggung kerugian lebih RM500,000.
Menurut ketua kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz kejadian tersebut berlaku lapan tahun lepas apabila mereka ditawarkan mengadakan konsert bersama Hijjaz dan Brothers lapor Harian Metro.
“Kami pernah ditipu penganjur konsert dan menanggung kerugian lebih RM500,000 kira-kira lapan tahun lalu.
“Konsert itu ialah acara pertama yang dianjurkan pihak terbabit kerana mereka mahu berikan platform untuk merancakkan lagi industri nasyid dan menjanjikan bayaran lumayan.
“Kami yakin untuk menjayakan konsert itu kerana penganjur juga sudah memberikan bayaran deposit dan jualan tiket juga ‘full house’ dan okay.
“Beberapa hari sebelum konsert, penganjur memberitahu ada sedikit masalah kewangan dan saya sudah memberikan pinjaman wang kepadanya.
“Namun, penganjur terbabit tiba-tiba menghilangkan diri selepas konsert berlangsung,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Tidak membuat laporan polis, Azadan memaklumkan pihak pengajur seolah-olah menyalahkan mereka pula.
“Mungkin mereka anggap kumpulan nasyid seperti kami ini mudah dipijak? Pihak kami sudah bersabar selama lapan tahun dan tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu memanjangkan cerita dan kejadian ini juga sudah lama.
“Sebenarnya, kami masih boleh terima kalau penganjur itu menunjukkan bukti mereka ada masalah kewangan dan tidak mampu selesaikan bayaran dijanjikan.
“Sekurang-kurangnya, buatlah surat permohonan maaf kepada kami. Kami tidak serik untuk berurusan dengan penganjur konsert atau persembahan kerana kebanyakannya sangat profesional,” tambahnya.
Baca juga: Nama dipetik isu pelawak nodai gadis di Johor Bahru, respon Tauke curi perhatian netizen