Zaman sekarang bukan orang biasa sahaja ditipu malah artis juga menjadi mangsa, lebih mengejutkan ia adalah perbuatan kenalan juga.
Usahawan popular, Wak Doyok mendakwa dirinya menanggung kerugian lebih RM3 juta akibat ditipu rakan perniagaan syarikatnya.
Dikenali kerana gaya fesyen dan misainya, Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor menyedari dirinya ditipu pasangan suami isteri itu selepas membuat siasatan.
“Hasil siasatan, saya dapati mereka terbabit dalam pemalsuan dokumen, salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
“Mereka juga sudah mengosongkan premis pejabat dan melarikan semua barangan dan peralatan milik syarikat tanpa pengetahuan saya.
“Saya hanya dapat tahu dia sudah mengosongkan premis dan seramai 20 kakitangan juga sudah berhenti dari syarikat, baru-baru ini,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Pada masa sama, Wak Doyok memaklumkan sudah melabur kira-kira RM500,000 dengan wang simpanannya untuk syarikat berkenaan.
“Saya terpaksa jual tanah dan aset lain untuk melabur dalam perniagaan ini dan tidak sangka ditipu rakan perniagaan sendiri pula.
“Saya sudah berusaha untuk berbincang secara baik untuk menyelesaikan kes ini.
“Tetapi pihak terbabit mendakwa dia ditipu dan mengambil tindakan undang-undang (saman) terhadap saya pula,” katanya.
Dalam pada itu, Wak Doyok juga sudah membuat 10 laporan di Balai Polis Bukit Jelutong terhadap mereka sejak 2 Julai lalu.
“Saya juga sudah mengambil khidmat peguam dan berharap semoga kebenaran akan berpihak kepada saya,” katanya.
Meskipun kecewa, ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskan perniagaan seperti sediakala dan menganggap ini sebagai pengajaran buat dirinya dan orang lain.
Menurutnya, walaupun sedih dia tetap bangkit semula untuk meneruskan perniagaannya seperti biasa.
“Saya sudah menceburi perniagaan baru sekarang. Sebenarnya, saya terpanggil untuk berkongsi kes penipuan ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Semoga pendedahan ini akan sedikit sebanyak membantu rakan artis dan orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk menjalankan perniagaan ‘joint venture’.
“Kerana kebanyakan perniagaan sebegini membabitkan kegiatan ‘scammer’ ketika ini,” katanya.
Baca juga: Selama ini mampu bagi dompet sahaja, Wooi Yik nekad hadiahkan SUV Chery lebih RM100k kepada bapa