Siapa sangka, pernikahan antara pasangan pelakon, Sabri Yunus dan Angeline Tan telah menimbulkan satu perbincangan hangat baru-baru ini.
Mana tidaknya, seorang pendakwah asal Indonesia mendakwa bahawa pasangan itu sudah berzina kerana pernikahan yang dilangsungkan pada Sabtu lalu, tidak sah.
Susulan itu, dua ahli ulama iaitu Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan bekas mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli tampil memberi kenyataan.
Kedua-dua agamawan itu memberi penjelasan yang panjang lebar dan mengatakan bahawa lafaz qabul Sabri Yunus serta pernikahan pasangan berkenaan adalah sah.
Berjaya menyita perhatian, Angeline Tan turut memberikan maklum balas mengenai isu hangat tersebut dengan nada yang begitu merendah diri tetapi cukup terkesan.
Oleh kerana pernikahan tersebut telah disahkan oleh dua orang saksi ‘sah’, maka Angeline enggan mengambil pusing mengenai dakwaan pendakwah berkenaan.
Wanita mualaf itu bagaimanapun menyifatkan tuduhan berzina yang diutarakan oleh pendakwah berkenaan terhadap dirinya dan juga suami sebagai satu fitnah.
Tular di media sosial, kenyataan Angeline itu dikongsikan menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun Instagram milik program hiburan, H Live.
“Kita ada dua orang wali yang sah. Kalau dua wali kata sah, maka sahlah (akad nikah). Dia (pendakwah Indonesia) bukan wali sah kita, jadi apa yang dia cakap tak sah.
“Angeline baru masuk islam, bukan faham sangat hukum. Jadi dia (pendakwah) lebih faham kalau fitnah macam ini apa hukumnya. Itu antara dia dengan Allah,” katanya.
Terdahulu, negara dikejutkan dengan khabar gembira bahawa pasangan pelakon veteran berkenaan telah selamat diijabkabulkan pada pagi Sabtu lalu di Perlis.
Pasangan merpati dua sejoli itu dinikahkan dengan sekali lafaz oleh Mufti Perlis yang mesra dikenali sebagai Dr Maza sambil disaksikan ahli keluarga dan kenalan rapat.
Seorang pendakwah menerusi ceramahnya kemudian mendakwa bahawa pasangan dinikahkan Dr Maza itu tidak memenuhi ucapan ijab dan qabul yang sepatutnya.